Laksa Mek Siok jadi tumpuan

Antara tetamu yang berkunjung ke kediaman Geok Suet di Kampung Tiruk.
Antara tetamu yang berkunjung ke kediaman Geok Suet di Kampung Tiruk.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kunjungan ke rumah masyarakat Cina Peranakan sempena Tahun Baru Cina di Kampung Tiruk di sini tidak lengkap sekiranya tidak mencuba juadah tradisional kacukan masakan Melayu dan Cina iaitu laksa Terengganu.

Hidangan popular pada musim perayaan hasil air tangan Koo Geok Suet, 52, atau lebih mesra digelar sebagai Mek Siok dalam kalangan penduduk kampung diakui menyelerakan, malah memikat selera masyarakat Melayu yang bertandang ke rumahnya.

Geok Suet berkata, cara pembuatan juadah itu dipelajari daripada ibunya, Wee Soh Hong yang berasal dari Kampung Temangan, Kelantan ketika dia berusia 20 tahun.

Selain laksa Terengganu katanya, dia juga mempelajari pembuatan makanan tradisional Melayu yang lain seperti nasi kunyit, nasi dagang, nasi minyak, kuih bahulu dan akok.

“Dulu, saya banyak belajar masakan tradisional daripada ibu, antara masakan yang popular dan saya mahir ialah laksa Terengganu.

“Keistimewaan laksa Terengganu terletak pada rasa kuahnya. Jadi bagi memastikan rasanya lebih sedap bahan-bahan untuk menghasilkan kuah laksa mestilah lengkap,” katanya.

Turut berkongsi ramuan rahsia, Geok Suet berkata kuah laksa Terengganu yang dihasilkan turut diadun bersama ikan kering, budu dan nyor (kelapa) gula.

“Ikan kering tu kita goreng dahulu sebelum ditumbuk. Selain itu, saya turut masukkan budu dan nyor (kelapa) gula bagi mendapatkan rasa yang lebih istimewa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Geok Suet berkata, dia juga menggunakan ikan yang banyak bagi menghasilkan kuah laksa yang lebih pekat dan sedap.

“Saya suka masak kuah yang pekat sebab rasanya akan lebih sedap. Untuk buat laksa ini biasanya saya akan gunakan sehingga tiga kilogram (kg) ikan.

“Ia bagi menghasilkan kuah yang lebih pekat kerana ada sesetengah orang suka makan laksa dengan kuah yang banyak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tiruk, di sini.

Kediaman Geok Suet meriah setiap kali tibanya Tahun Baru Cina.
Kediaman Geok Suet meriah setiap kali tibanya Tahun Baru Cina.

Selain kuah, ulam-ulaman yang dihidangkan bersama laksa Terengganu turut memainkan peranan dalam membangkitkan selera.

“Banyak ulam dalam laksa ini, biasanya kita guna kacang panjang dan timun. Bagaimanapun bahan wajib dalam ulam laksa saya ialah daun kemangi. Rasa daun kemangi lebih membangkitkan selera mereka yang menikmati juadah ini,” katanya.

Generasi keempat

Geok Suet ditemui di kediamannya bersama abangnya, Koo Ong Jin, 66, yang mengalami masalah lumpuh sejak lebih setahun lalu.

Dua beradik itu ialah generasi keempat Cina Peranakan di kampung itu.

“Sekarang kita sudah ada tujuh generasi Cina Peranakan di kampung ini, namun kebanyakannya telah berhijrah ke bandar dan turut membawa ibu bapa mereka.

“Sebelum ini di Kampung Tiruk terdapat sekitar 200 orang penduduk Cina Peranakan, kini yang tinggal hanya sekitar 18 buah rumah dengan jumlah penduduk tidak melebihi 60 orang,” katanya.

Dia yang merupakan suri rumah mempunyai empat orang cahaya mata iaitu Wong Jhia Yi, 31; Wong Jian Fei, 30; Wong Jian Shen, 27 dan Wong Jhia Qing, 24.

Sementara itu, Ong Jin yang mahir bertutur dialek Terengganu berkata, masyarakat Cina Peranakan di kampung itu telah lama sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu terutama dari segi pertuturan, pemakanan dan pakaian.

“Hubungan masyarakat Cina dan Melayu di sini terjalin sejak sekian lama, malah kita tidak nampak adanya jurang atau perbezaan kaum.

“Kita mempunyai hubungan yang baik dan begitu mesra. Kalau musim perayaan kita tidak pernah sunyi daripada menerima kunjungan masyarakat Melayu,” katanya.

Katanya lagi, masyarakat Cina Peranakan hanya terdapat di empat negeri di Semenanjung Malaysia iaitu di Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.