Jangan lupa sejarah penderitaan Palestin: Dr Wan Azizah

Dr Wan Azizah bersama Pengerusi Liga Ahli Parlimen untuk Al-Quds (LP4Q), Sheikh Hamid Al-Ahmar (kanan) ketika gimik Majlis Penutupan Persidangan Tahunan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds Kali Ketiga hari ini. - Foto: Bernama
Dr Wan Azizah bersama Pengerusi Liga Ahli Parlimen untuk Al-Quds (LP4Q), Sheikh Hamid Al-Ahmar (kanan) ketika gimik Majlis Penutupan Persidangan Tahunan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds Kali Ketiga hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Ketidakadilan, keganasan dan penindasan tidak ada tempat dalam tamadun moden dan generasi masa kini serta masa hadapan perlu komited, dalam menjadikan dunia ini sebagai sebuah tempat yang lebih baik, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, berkaitan Palestin, Malaysia sentiasa menganggap Palestin dan rakyatnya seperti rakyat sendiri dan telah memberikan bantuan berterusan dalam pelbagai bentuk kepada Palestin sejak Malaysia merdeka.

“Ada masanya, kami rasa tidak berdaya apabila melihat kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Persidangan ini bertindak sebagai satu platform untuk kita semua bersama-sama dan membincangkan serta merangka satu pelan yang praktikal dan strategik.

“Ia juga membantu kami menggerakkan bantuan dan sokongan daripada orang ramai, institusi dan kerajaan di seluruh dunia untuk membawa keamanan dan keadilan kepada Palestin,” kata Dr Wan Azizah pada Persidangan Liga Ahli Parlimen Antarabangsa Al-Quds (LP4Q) kali ketiga di sini hari ini.

Dr Wan Azizah menyatakan, antara mereka yang paling lantang dalam mengkritik Israel adalah dalam kalangan orang Yahudi sendiri.

“Ini termasuklah saintis Albert Einstein, ahli akademik Noam Chomsky dan penulis Alfred Lilienthal. Antara aktivis yang menggerakkan ‘Women Boat for Gaza termasuklah Zohar Regev dan Yudit Ilany yang adalah rakyat Israel," katanya.

Wan Azizah turut menceritakan pengalaman bertemu Zohar Regev, rakyat Israel yang menyertai Boat for Gaza dan sebelum ditahan pihak berkuasa Israel.

“Kita boleh lihat isu Palestin bukanlah hanya isu seorang Palestin atau Arab tetapi telah menjadi satu usaha yang dijuarai dan disokong oleh masyarakat yang mempunyai kesedaran,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Dr Wan Azizah hadir pada Majlis Penutupan Persidangan Tahunan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds Kali Ketiga hari ini. - Foto: Bernama
Dr Wan Azizah hadir pada Majlis Penutupan Persidangan Tahunan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds Kali Ketiga hari ini. - Foto: Bernama

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam menggerakkan usaha membawa keadilan kepada Palestin, apa yang penting ialah memastikan generasi muda tidak melupakan penderitaan menimpa rakyat Palestin.

“Satu usaha boleh hilang momentumnya apabila generasi muda tidak faham kenapa dan bagaimana ia bermula.

“Mungkin telah tiba masanya kita memperingati apa yang berlaku kepada Palestin dengan menubuhkan sebuah muzium An Nakba.

Beliau berkata, muzium itu akan memberikan kefahaman kepada orang ramai berhubung sisi buruk sikap manusia dan kepentingan untuk tidak membenarkan ketidakadilan, berulang pada masa hadapan.

“Selain mendidik masyarakat mengenai Palestin, ia juga akan mendidik kita mengenai tragedi seperti ketika Perang Bosnia, genosida Bosnia, genosida Rwanda, pembunuhan beramai-ramai Sook Ching dan Rabaa dan tragedi-tragedi lain yang telah berlaku tidak berapa lama dahulu.

Persidangan dua hari bermula semalam dianjurkan LP4Q di bawah naungan Parlimen Malaysia dengan sokongan beberapa pertubuhan masyarakat sivil termasuklah Pergerakan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).

Malaysia telah diberikan penghormatan menjadi tuan rumah persidangan kali ini buat pertama kali selepas dua persidangan sebelum ini diadakan di Istanbul, Turki pada 2016 dan 2018. - Bernama