Catuan air esok di kawasan perindustrian, pelancongan dan hospital

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Catuan bekalan air di negeri ini yang diteruskan esok akan melibatkan kawasan perindustrian, pelancongan dan hospital, demikian menurut kenyataan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Kawasan perindustrian yang terlibat ialah Ayer Keroh, Batu Berendam, Bukit Rambai, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Krubong, Taman Teknologi Cheng, Tangga Batu, Zarina dan Serkam.

“Beberapa pengguna domestik di sekitar kawasan perindustrian tersebut akan turut mengalami catuan bekalan air yang dijadual berakhir pada 23 Februari depan,” menurut kenyataan SAMB dalam laman Facebook hari ini.

Syarikat pengurusan air negeri ini memaklumkan, kawasan pelancongan yang dikenakan catuan bekalan air termasuk keseluruhan Jalan Bendahara, Jalan Jonker Walk, Jalan Taming Sari, bangunan Stadhuys dan Pulau Melaka.

Selain itu, lebih 37 hotel, 11 pusat membeli belah dan empat hospital swasta di sekitar bandar raya akan terlibat dengan catuan terbabit.

Melaka pada 29 Januari lepas melaksanakan catuan bekalan air harian membabitkan 550,673 pengguna iaitu 62.8 peratus penduduk bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk menghadapi cuaca panas dan kering dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir bulan hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: