Kerjasama tingkat pengalaman pengguna rel

A
A

KUALA LUMPUR - CMC Engineering Sdn Bhd (CMC), yang merupakan anggota Perbadanan Industri Rel Malaysia (MARIC) akan memanfaatkan keupayaan agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara MIMOS dalam menyediakan penyelesaian teknologi untuk meningkatkan pengalaman pengguna pengangkutan rel.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hazwan Alif Abdul Rahman berkata, kerjasama itu akan memperkukuh keupayaan teknikal CMC dalam penyelesaian digital dan aktiviti penyelenggaraan rel.

CMC adalah syarikat pembinaan perolehan kejuruteraan yang mengkhusus dalam pemasangan, pengujian, pentauliahan, sokongan dan penyelenggaraan untuk industri berkaitan pengangkutan rel.

“Kerjasama ini akan menyaksikan MIMOS serta anak-anak syarikatnya, bersama CMC menyumbangkan kepakaran dan perkhidmatan masing-masing dalam menyokong perkhidmatan rel.

“Apabila kerajaan mengintegrasi dan memperkuat sistem pengangkutan bandar, kami inigin menawarkan pengalaman perjalanan dan transit yang baharu dan lebih bijak kepada penguna. Sistem ini akan menggabungkan pengawasan keselamatan pintar, maklumat demografi yang relevan, dan analisis terperinci permintaan komuter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tumpuan utama kerjasama itu ialah kepada sistem Kawalan Kumpulan Ramai, di mana keupayaan MIMOS dalam teknologi terkehadapan seperti Internet Benda, Analitis Data dan Kecerdasan Buatan, akan digunakan untuk meningkatkan produktiviti operasi, kecekapan perancangan laluan dan keseluruhan operasi rel harian.

“Dengan usahasama MIMOS-CMC, kami berharap untuk meningkatkan lagi kebolehpercayaan pengangkutan rel dan menyediakan satu sistem yang cekap dan bernilai tinggi kepada komuter, ke arah pengangkutan bandar yang lebih bersambung, persepadu dan mempan,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Teknologi MIMOS Thillai Raj Ramanathan berkata kerjasama ini amat penting bagi MIMOS dalam menjayakan peranannya untuk menyerapkan elemen perindustrian ke dalam gelombang industri 4.0 ke arah memperkasa syarikat tempatan serta membangunkan teknologi elektronik dan ICT termaju tempatan.

Sejak penubuhannya, MIMOS menyediakan penyelesaian teknologi untuk pelbagai sektor strategik seperti perkhidmatan kerajaan, pembuatan, penjagaan kesihatan, keselamatan awam, pertanian, perkhidmatan kewangan, penyelidikan dan komuniti pintar. - Bernama