MBPJ edar notis pemberitahuan caj beg plastik

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengedarkan 38,058 notis pemberitahuan kutipan caj beg plastik 20 sen di bawah pentadbiran sejak Disember lalu.

Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, MBPJ usaha itu bagi mengurangkan penggunaan beg plastik supaya pengusaha tidak lagi membekalkan beg plastik secara percuma.

Beliau berkata, MBPJ telah menguatkuasakan undang-undang kecil perniagaan berkaitan syarat kelulusan lesen perniagaan.

"Pendedahan dan pendidikan kepada pengguna mengenai kesan buruk penggunaan beg plastik akan diteruskan," katanya.

Menurutnya, penggunaan beg plastik secara berleluasa tanpa kawalan penyumbang utama dalam penjanaan sampah sisa plastik terutama daripada sektor sektor komersil.

"MBPJ telah membelanjakan RM8. 6 juta bagi kos pelupusan sampah pada tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Kerajaan negeri sebelum ini meluluskan pelaksanaan kutipan caj beg plastik melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula 1 Januari lalu.

Jumlah kutipan tersebut akan diuruskan oleh PBT untuk disalurkan ke Tabung Amanah peringkat Selangor dan PBT untuk program alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Semua premis perniagaan yang perlu berdaftar di bawah program kutipan caj beg plastik boleh mendapatkan borang di PBT masing-masing dan akan menerima nombor pendaftaran serta sijil yang wajib dipamerkan di kawasan mudah dilihat sebagai rujukan kepada pengguna.

Sementara itu, di PERLIS Exco Sumber Asli dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau dan Kesihatan, Teh Chai Aan berkata, Kerajaan negeri Perlis kini sedang berusaha mendidik masyarakat mengehadkan penggunaan plastik bagi mencapai matlamat Perlis sifar plastik 2030.

Beliau berkata, penggunaan plastik perlu dihapuskan secara total menjelang tahun 2030.

"Kita bakal bermesyuarat bagi menentukan kadar denda yang bakal dikenakan kepada mereka yang masih menggunakan plastik," katanya.

Menurut Chai Aan, bagi premis jualan seperti pasar raya yang masih menggunakan plastik pada hari tertentu dengan bayaran 20 sen perlu berdaftar.

"Bagaimanapun kita berharap peniaga tidak membekalkan plastik kepada pembeli walaupun melalui kaedah bayaran," katanya.