Surat amaran polis kepada Dr Li Wenliang cetus kemarahan netizen

Surat amaran polis yang dikongsi Wenliang dalam akaun media sosialnya pada 31 Januari 2020. Gambar kanan: Dr Wenliang
Surat amaran polis yang dikongsi Wenliang dalam akaun media sosialnya pada 31 Januari 2020. Gambar kanan: Dr Wenliang
A
A
A

WUHAN – Kematian seorang doktor di Wuhan akibat jangkitan koronavirus menyebabkan netizen tidak berpuas hati dengan cara pengendalian kerajaan China dalam menangani hal itu.

Perkara ini tercetus selepas Dr Li Wenliang dituduh menyebarkan khabar angin berkenaan wabak yang sehingga kini telah menyebabkan lebih 812 kematian.

Wenliang merupakan antara individu pertama yang memberi amaran tentang kewujudan koronavirus baharu (2019-nCoV) sebagai ancaman awal dan berhati-hati susulan kejadian di sebuah pasar makanan laut di tempatnya pada 30 Disember tahun lalu.

Berikutan amaran yang dikongsi dengan rakan-rakan dan keluarganya melalui aplikasi mesej WeChat, beliau dipanggil oleh pengurusan hospital untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu, sebelum dipanggil ke balai polis tempatan kerana didakwa sebagai menyebarkan khabar angin.

Wenliang kemudiannya diarahkan menandatangani surat amaran polis pada 31 Januari lalu yang memperakui dia melakukan kesalahan akibat menyebarkan berita palsu dan berjanji tidak akan mengulanginya, sebelum dibebaskan.

“Agensi penguat kuasa mahu anda bekerjasama, patuh kepada pihak polis dan hentikan perbuatan anda. Boleh anda lakukan itu? Saya boleh,” jawab Wenliang di bawah soalan tersebut.

“Sekiranya anda terus berkeras, tidak berubah dan terus melakukan kegiatan haram ini, anda akan dihukum mengikut undang-undang. Adakah anda faham? Saya faham,”jawab Wenliang.

Pendedahan itu sehingga kini terus mencetuskan kemarahan netizen China apabila ia menunjukkan penindasan dan ketidakpedulian kepada suara rakyat.

Artikel Berkaitan:

Wengliang telah disahkan meninggal dunia pada jam 2.58 pagi pada 7 Februari lalu akibat terkena jangkitan daripada salah seorang pesakit di kliniknya.

Doktor berusia 34 tahun itu disahkan menghidap koronavirus pada 1 Februari lalu setelah mengalami demam dan batuk-batuk sejak 10 Januari lalu.