Seorang lagi positif koronavirus

Para pelancong mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka susulan penularan kluster Novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV) -Foto Bernama
Para pelancong mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka susulan penularan kluster Novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV) -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang wanita tempatan berusia 65 tahun menjadi individu terbaru positif koronavirus menjadikan angka keseluruhan jangkitan dalam negara kini berjumlah 17 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita berkenaan merupakan ibu mertua kepada kes warga Malaysia yang dilaporkan pada 4 Februari 2020 lepas iaitu kes kesembilan.

Menurutnya, wanita berkenaan mempunyai beberapa penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan, seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung serta pergerakan yang terhad.

Katanya, wanita itu mempunyai kontak langsung dengan kes kesembilan, semasa duduk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama ahli keluarga yang lain, dari 26 sehingga 28 Jan lepas.

“Sepanjang 29 Januari hingga 4 Februari beliau memaklumkan hanya berada di rumah. Bagaimanapun, pada 5 Februari beliau mengadu kurang sihat, iaitu mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya tetapi tiada demam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, wanita terbabit telah dibawa untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di salah sebuah hospital swasta dan dibenarkan pulang ke rumah dengan temu janji susulan pada 7 Februari.

“Sebaik sahaja menantunya, iaitu kes kesembilan dikesan positif virus itu, beliau telah dijejaki pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Hasil siasatan mendapati beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara China. Sebagai sebahagian daripada aktiviti siasatan, sampel telah diambil daripada beliau dan ahli keluarga yang lain,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

“Ujian pengesanan dan pengesahan koronavirus yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada 8 Februari (semalam) manakala bagi lain-lain ahli keluarganya adalah negatif,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Korban koronavirus meningkat 812 orang

Dr Noor Hisham berkata, wanita itu telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil dan aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Menantu wanita itu merupakan rakyat Malaysia pertama disahkan positif koronavirus pada 4 Februari lalu.

Lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Selangor itu mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura, dari 16 hingga 22 Jan, bagi menghadiri mesyuarat bersama delegasi antarabangsa termasuk dari China. -Bernama

No Image Caption