X

Kindly register in order to view this article
!

MPKKP jadi ejen PH, bawa suara rakyat ke atas: Fuziah

Chean Chung menyampaikan watikah pelantikan MPKKP kepada 24 individu yang terpilih menjadi pengerusi dan setiausaha MPKKP Parlimen Indera Mahkota hari ini.
A
A

KUANTAN - Mentaliti bahawa peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) hanya sekadar menurunkan cop atau mengesahkan surat dan sijil semata-mata perlu diubah.

Sebaliknya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Fuziah Salleh berkata, pihak terlibat mempunyai tanggungjawab lebih besar iaitu bertindak sebagai ejen kerajaan di peringkat akar umbi untuk membawa suara ke peringkat atasan.

Menurutnya, organisasi kepimpinan di peringkat kampung itu turut dibentuk untuk memastikan mereka menyampaikan mesej kerajaan dengan jelas, selain menyampaikan segala permasalahan penduduk kampung kepada kerajaan melalui saluran yang betul.

"Jadi, saya mahu MPKKP yang dilantik ini memainkan peranan mereka. Apa sahaja bentuk program atau permasalahan penduduk perlu disampaikan melalui pihak Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun kerajaan PH.

"Mereka juga perlu menyampaikan dasar-dasar yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat agar rakyat mendapat maklumat lebih jelas," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Anggota MPKKP Indera Mahkota, di Pusat Khidmat ADUN Semambu hari ini.

Hadir sama, ADUN Semambu, Lee Chean Chung dan ADUN Teruntum, Sim Chon Siang.

Terdahulu, Chean Chung menyampaikan watikah pelantikan kepada 24 pengerusi dan setiausaha MPKKP, menjadikan 276 MPKKP yang menerima watikah itu ketika ini daripada keseluruhan 542 MPKKP di Pahang.

Fuziah berkata, MPKKP yang telah menerima watikah boleh mula melantik 11 ahli jawatankuasa bulan ini dan kursus bagi MPKKP akan diadakan pada akhir bulan ini.

“Bagi lantikan fasa kedua, nama mereka yang terpilih akan diserah kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Luar, Bandar Datuk Seri Rina Harun pada Januari lalu dilaporkan berkata bahawa penubuhan MPKKP di lima negeri dikuasai pembangkang iaitu Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak diputuskan pada mesyuarat jemaah menteri Oktober tahun lalu bertujuan memantapkan struktur pentadbiran di peringkat akar umbi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus