Gaduh di stesen minyak: Enam didakwa membunuh

No Image Caption
A
A
A

MACHANG - Enam lelaki termasuk tiga beradik dan seorang guru besar didakwa di Mahkamah Majistret Machang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang peniaga manakala 10 lagi berdepan pertuduhan merusuh berkaitan insiden pergaduhan maut di sebuah stesen minyak pada 27 Januari lepas.

Mohd Azam Seman, 23; Muhamad Zarudin Seman, 27; Mohd Rizal Seman, 37; Che Muhammad Sayusi Che Musa, 29; Mohd Rozi Mohd Nawi, 51, dan Abd Rahim Abdul Wahab, 56, yang masih bebas, didakwa membunuh Kamsani Mohamed, 39, di Stesen Minyak Shell, Batu 31, Jalan Machang-Kuala Krai di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Majistret Amal Razim Alias menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin memohon tarikh baharu sementara menunggu laporan kimia.

Sementara itu, Ahmad Husaini Haron, 24; Wan Muhammad Hafizi Wan Hussin, 29; Mohd Faizal Salleh, 40; Muhamad Akmal Syahmi Ab Arif, 27; Mohd Shafuan Asri, 31; Raja Mohd Azmi Raja Hussin, 37; Abdullah Amiruddin Amir, 29; Norhisan Mohd Rosidi, 43; Nik Mohamad Fazli Nih Mahmud, 29, dan Ahmad Shubly Shaari, 35, didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 2 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Mereka didakwa bersama-sama sepuluh lagi yang masih bebas melakukan rusuhan dan bergaduh di Stesen Minyak Shell, Batu 31, Jalan Machang-Kuala Krai di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi pada 27 Januari lepas.

Kesemua tertuduh yang hadir di mahkamah bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan turut mengenakan syarat jaminan tambahan bagi memastikan bahawa tertuduh tidak mengganggu saksi dalam kedua-dua kes.

Amal Razin kemudian menetapkan 16 Mac untuk menyebut semula kes itu. - Bernama