Perkasa pendigitalan bagi pastikan pertumbuhan ekonomi mampan

Lim Guan Eng -Foto Bernama
Lim Guan Eng -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Proses memperkasakan pendigitalan adalah salah satu pendekatan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, kerajaan sedang memberi tumpuan kepada proses pendigitalan kerana ia merupakan satu teknologi masa hadapan yang bukan sahaja harus dikuasai rakyat Malaysia tetapi juga sesuatu yang perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian supaya mampu serasi dengan perkembangan terkini dunia.

Guan Eng berkata, dalam aspek ini, Kementerian Kewangan telahpun mengumumkan program e-Tunai Rakyat dalam Bajet 2020 untuk menggalakkan pembayaran digital secara lebih meluas dalam kalangan rakyat dengan peruntukan sebanyak RM450 juta.

"Setakat ini kita telah lihat sambutan yang menggalakkan iaitu sebanyak enam juta permohonan telah diluluskan setakat semalam yang melibatkan perbelanjaan RM180 juta telah digunakan oleh penerima untuk membeli belah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah mengumumkan RM30 setiap orang tetapi dengan tambahan dan tawaran tambah nilai oleh syarikat pengendali swasta sebenarnya penerima e-Tunai mendapat sekurang-kurangnya RM60 untuk membeli-belah.

"Namun apa yang lebih penting ialah kita hendak lebih ramai mendaftar dalam platform digital, bukan sahaja rakyat biasa untuk membeli-belah tetapi juga peniaga, pedagang dan juga penjaja kecil. Ini adalah penting sekiranya kita mahu terus mampu bersaing, kita perlu ceburi diri dalam platform digital. Itu sesuatu yang wajib dilakukan," katanya.

Katanya, pihaknya juga dimaklumkan bahawa seramai 16,182 pedagang dan peniaga tambahan telah mendaftarkan diri dan ini sesuatu perkembangan yang amat menggalakkan.

"Sudah tentulah, Inisiatif e-Tunai Rakyat ini akan memberi manfaat besar kepada pengguna dan pedagang tempatan serta akan dapat membantu mencapai matlamat yang disasarkan iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai masyarakat dan ekonomi digital yang maju," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: