Nur Sajat diminta runding semula dengan Jakim

Fuziah (tengah) bersama barisan pengerusi MPKKP Indera Mahkota hari ini.
Fuziah (tengah) bersama barisan pengerusi MPKKP Indera Mahkota hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat diminta mengadakan rundingan semula dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menyelesaikan isu status jantinanya sama ada lelaki ataupun khunsa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, pengesahan identiti Nur Sajat itu bukan sahaja membabitkan fizikal tetapi hormon dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Saya harap Nur Sajat dapat berunding semula dengan pihak Jakim. Pada awal 2018, isu Nur Sajat timbul tapi hanya separuh jalan apabila beliau (Nur Sajat) dan keluarganya tidak memberi kerjasama apabila Jakim meminta ujian kesihatan dilakukan.

"Kalau ikutkan kad pengenalan didaftarkan sebagai lelaki oleh ibu bapanya sewaktu lahir dan tiba-tiba dikatakan khunsa. Sebab itu Jakim perlu buat pengesahan.

"Pengesahan identiti ini perlu kerana ia melibatkan banyak perkara. Kalau mati nanti hendak dikafankan macam mana? Jadi ia perlu pengesahan Jakim," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas jamuan Tahun Baru Cina anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu dan penyerahan watikah pelantikan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Indera Mahkota, di Pusat Khidmat ADUN Semambu hari ini.

Hadir sama, ADUN Semambu, Lee Chean Chung dan ADUN Teruntum, Sim Chon Siang.

ARTIKEL BERKAITAN: Transgender perlu tunai umrah dengan jantina asal: Mufti WP

Artikel Berkaitan:

Semalam, Nur Sajat membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kontroversi yang ditimbulkan sewaktu mengerjakan ibadah umrah.

Permohonan maaf itu dibuat ketika sedang makan bersama sahabatnya yang juga jutawan produk kesihatan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang disiarkan secara langsung di Facebook Aliff Syukri Terlajak Laris.

Mengulas lanjut mengenai permohonan maaf itu, Fuziah berkata, beliau turut mendoakan semoga ibadah umrah dilakukan membuka hati Nur Sajat dalam mencari kebenaran.

"Alhamdulillah, sekiranya beliau (Nur Sajat) insaf dan meminta maaf kepada semua pihak dengan hati yang ikhlas.

"Semoga keikhlasan itu membuka hati dalam mencari kebenaran dan mendekatkan diri beliau dengan ALLAH," katanya.