Hino Malaysia capai jualan 100,000 unit kenderaan

Atsushi (tiga dari kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan jualan unit ke-100,000 HMSM berupa trak Hino 500 Series model FM2PN2D kepada Roslan (empat dari kanan).
Atsushi (tiga dari kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan jualan unit ke-100,000 HMSM berupa trak Hino 500 Series model FM2PN2D kepada Roslan (empat dari kanan).
A
A
A

PETALING JAYA – Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd (HMSM) berjaya mencapai jualan 100,000 unit kenderaannya di negara ini.

Unit ke-100,000 itu diserahkan kepada pelanggannya, Ikhasas Resources Sdn Bhd (Ikhasas Resources) pada majlis sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di ibu pejabat HMSM di sini pada Rabu lalu.

Ikhasas Resources yang diwakili Pengarahnya, Datuk Roslan Zainal turut menerima hadiah tanda penghargaan berupa trip ke Jepun untuk dua orang dan peluang melawat Hino Motors Limited di Jepun.

Berucap pada majlis itu, Pengarah Urusan Hino Malaysia, Atsushi Uchiyama berkata, unit ke-100,000 itu merupakan Hino 500 Series model FM2PN2D dengan konfigurasi pacuan 6x4 dan trak tugasan sederhana yang ideal untuk kegunaan operator.

Katanya, lebih 40 tahun membina empayar di negara ini, Hino membuktikan keyakinan pelanggan terhadap produk dan kestabilan jenamanya di pasaran Malaysia.

“Sejak penubuhan kami di Malaysia pada tahun 1977, HMSM telah berkembang dan mencapai jualan terkumpul sebanyak 100,000 unit.

“Berbekalkan semangat Transporting Every Happiness, kami amat bermotivasi kerana berdiri sebagai sebahagian daripada industri logistik dan pengedaran di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, menerusi rekod jualan yang besar, HMSM menyasarkan untuk memberikan sokongan terbaik kepada pelanggan merangkumi komponen, perkhidmatan dan alat ganti.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan data penjualan kenderaan dikeluarkan oleh Malaysian Automotive Association (MAA), Hino Malaysia menduduki tangga teratas dengan pegangan pasaran 37.0 peratus dalam segmen trak dan 61.9 peratus bagi segmen bas.

HMSM berjaya menjual 5,520 unit kenderaan dengan pegangan pasaran sebanyak 38.1 peratus pada 2019, melayakkannya menduduki tempat pertama dalam jualan keseluruhan trak dan bas.