X

Kindly register in order to view this article
!

Amaran jingga koronavirus: PM Singapura minta rakyat jangan cemas

Lee Hsien Loong. FOTO: Reuters
A
A

SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura menasihatkan agar rakyat di negara itu bertenang dan tidak berasa cemas selepas kerajaan bertindak menaikkan amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (Dorscon) dari tahap kuning ke jingga bagi membendung penularan wabak koronavirus.

Lee Hsien Loong perkara tersebut perlu dilakukan agar perasaan cemas tidak menyelubungi perasaan yang mampu mewujudkan tindakan panik dan mampu memburukkan keadaan.

Menurutnya, kerajaan kini sedang mengambil langkah terbaik bagi memastikan wabak tersebut dapat dihapuskan dan tidak tersebar secara lebih meluas di Singapura.

“Kita telah menaikkan tahap Dorscon ke Jingga. Ini kerana pemerintah mahu melindungi rakyat Singapura sebaik mungkin dan kita mesti berani untuk segera bertindak dengan sewajarnya termasuk mengambil langkah-langkah tegas.

“Kita pernah menewaskan wabak SARS dulu. Kini, kita lebih bersedia menangani virus baru ini. Setiap kita ada peranan. Ikuti nasihat kementerian kesihatan dan dapatkan maklumat terkini dari sumber yang sahih. Jaga kebersihan diri sendiri, keluarga dan sekitaran kita. Jika anda tidak sihat, segeralah berjumpa doktor.

“Pemerintah akan melipat gandakan usaha untuk mengekang ancaman ini dengan sedaya upaya namun kita juga harus bersedia jika keadaan menjadi bertambah buruk. Kita belum sampai ke tahap itu namun cabaran sebenar ancaman ini ialah kesannya terhadap perpaduan sosial dan daya tahan psikologi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan video yang dimuat naik melalui laman Facebooknya, semalam, kini meraih 206,236 tontonan dan 7,900 tanda suka.

Dalam pada itu, Hsien Loong mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu dan tidak menuduh mana-mana pihak yang menjadi punca penyebaran wabak koronavirus di Singapura.

“Jangan sebarkan berita palsu. Jangan menuduh mana-mana kumpulan bagi apa yang sedang berlaku sekarang sebaliknya ayuh kita bantu membantu sesama jiran tetangga, sahabat andai dan rakyat yang lain khususnya mereka yang memerlukan.

“Dalam masa sukar-sukar ini, saya terharu melihat ramai rakyat Singapura yang menghulurkan bantuan. Ada yang memberikan topeng muka secara percuma kepada orang ramai.

“Ada juga para pekerja kesihatan yang bertarung nyawa di barisan hadapan merawat pesakit pesakit kita. Terima kasih atas pengorbanan anda. Anda menjadi sumber inspirasi kita semua. Ayuh, terus bertenang dan bersatu padu. Saya yakin bersama sama kita boleh mengatasi apa jua cabaran,” katanya.

Amaran jingga: Malaysia akan bincang dengan Singapura

VIDEO

PM Lee Hsien Loong on the 2019-nCoV situation in Singapore (Malay)

Sudah sekitar dua minggu, Singapura berdepan dengan ancaman virus korona baru. Saya faham perasaan takut dan cemas orang ramai. Tetapi kadangkala perasaan begitu lebih bahaya daripada virus itu sendiri! Ia boleh menyebabkan panik dan orang ramai membeli pelitup dan makanan secara berlebihan. Singapura ada bekalan yang mencukupi dan pasaraya di seluruh negara sudahpun diisi semula. Anda tidak perlu panik dan menyimpan stok mi segera atau beras seperti yang dilakukan sesetengah penduduk semalam. Ayuh kita kekal bersatu hati dan cekal mengatasi wabak ini. Ramai di antara kita sudahpun membantu satu sama lain. Syabas! Ini harus diteruskan. Yang paling penting, kita harus tenang dan teruskan dengan kehidupan kita. – LHL (Video by Mediacorp)

Posted by Lee Hsien Loong on Saturday, February 8, 2020


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf