Gerakan tidak akan bertanding PRK Cameron Highlands

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan hari ini mengumumkan keputusannya untuk tidak mengambil bahagian dalam PRK Cameron Highlands.

Setiausaha Agungnya, Mak Kah Keong berkata, keputusan itu dicapai oleh kepimpinan tertinggi parti memandangkan Cameron Highlands secara tradisinya bukan dikhususkan kepada parti itu, walaupun ia mempunyai anggota di sana, selain memiliki rekod perkhidmatan yang baik.

“Keputusan itu dibuat selepas beberapa rundingan dan perbincangan diadakan dengan akar umbi pada minggu-minggu kebelakangan ini, terutama Gerakan Pahang, dan Gerakan bahagian Cameron Highlands.

“Gerakan mengumpul maklum balas daripada komuniti tempatan, dan selepas pertimbangan teliti serta menyeluruh, kami bersetuju bahawa tugas utama sekarang ialah memberi tumpuan kepada usaha berterusan bagi mengukuhkan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kah Keong berkata, kepimpinan baharu parti sedang meningkatkan usaha bagi memperkenalkan pelbagai pembaharuan dalam parti yang memerlukan tumpuan tidak berbelah bahagi dan sokongan penuh semua anggota.

“Sebagai parti politik bebas, Gerakan dengan kira-kira 1,300 anggota yang akan mengundi dalam pilihanraya kecil itu, kami akan memerhati dan meneliti calon-calon sebelum mengumumkan sokongan kami.

“Walaupun tidak akan bertanding, kami akan terus menyampaikan suara nurani rakyat sebelum, semasa dan selepas pilihanraya kecil, terutama dengan melihat kepada hakikat bahawa kami mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan penduduk tempatan di Tanah Rata,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: