Moral paksi undang-undang jenayah

A
A
A

ISU undang-undang moral sering diketengahkan apabila ada yang mendakwa kerajaan tidak boleh mengawal moral. Lantas persoalan sama ada undang-undang boleh digubal bagi mengawal moral atau akhlak seseorang?

Persoalan itu dicetuskan kerana melihat undang-undang semata-mata dari lensa Barat dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan jahitan agama.

Ada golongan menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu. Mereka mengatakan undang-undang tidak boleh mengawal salah laku moral, jika seseorang itu berdosa hanya Tuhan yang layak menghukum mereka.

Menelusuri undang-undang Islam, pandangan itu jelas tidak mengambil kira perspektif Islam dan meletakkan hak asasi manusia di atas agama itu sendiri.

Sebenarnya budi pekerti dan moral yang mulia adalah asas yang paling kuat untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan amanah. Orang yang tidak bermoral akan mudah terjerumus dalam aktiviti jenayah.

Apa yang dimaksudkan dengan moral tersebut juga adalah tidak jelas. Jika ia merujuk kepada moral secara keseluruhannya maka ia adalah amat berbahaya kerana semua undang-undang digubal bagi menegakkan sistem moral yang jitu.

Pembunuhan secara tidak sah, umpamanya adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral. Oleh itu, ada undang-undang menangani kesalahan itu. Adakah kesalahan jenis itu juga hendak ditiadakan dalam perundangan kita?

Walaupun salah satu Rukun Negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan, namun permasalahan moral itu seringkali diketepikan dalam konteks Rukun Negara. Keruntuhan akhlak inilah yang kita hadapi pada hari ini. Sepatutnya dalam membuat sesuatu keputusan kita merujuk kembali kepada Islam.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu apabila terdapat dalam al-Quran melarang orang Islam meminum arak, adakah salah kerajaan membuat perundangan bagi mengharamkan orang Islam minum arak?

Pada masa sekarang kita tidak dapat lari daripada mengkodifikasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri telah renggang daripada Islam.

Jika dulu apabila ayat al-Quran tentang pengharaman arak diturunkan maka para sahabat berduyun-duyun membuang arak tanpa mempersoalkannya.

Tetapi sekarang setelah 1,400 tahun berlalu, penghayatan terhadap al-Quran adalah amat rendah. Oleh itu, hukuman berbentuk keduniaan ini perlu sebagai penghalang kepada budaya meminum arak.

PendidikanAkhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Pada masa ini, dengan perundangan yang adapun akhlak masyarakat adalah amat menyedihkan, apa akan jadi jika kesemua perundangan ini dihapuskan. Maka terdapat lakuna dalam perundangan ini.

Secara hipotetikalnya, apabila undang-undang ini dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di hadapan kita atau keluarga kita.

Tidak dinafikan pendidikan adalah elemen penting untuk mengawal moral seseorang. Tetapi pendidikan sahaja tidak mencukupi kerana pendidikan bertindak sebagai amar makruf manakala hukuman dalam bentuk perundangan bertindak sebagai nahi mungkar.

Kedua-dua kaedah itu sebenarnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain apatah lagi dalam keadaan negara mengambil Islam dalam ruang yang begitu terhad dan berpilih sahaja.

Jika kita meneliti kaedah hukum syarak, maka tidak timbul andaian bahawa suatu hari nanti mungkin ada undang-undang yang membenarkan pegawai penguat kuasa masuk ke rumah dan periksa sama ada seseorang itu sembahyang lima kali sehari atau tidak?

Andaian itu adalah andaian yang melampau dan tidak diasaskan kepada kaedah fikah sebenar kerana Khalifah Umar RA yang terkenal dengan ketegasannya pun pernah ditegur kerana mengintip rakyatnya melakukan kesalahan.

Sebenarnya pendekatan yang lebih baik kita lakukan ialah membuktikan bahawa undang-undang seperti itu sudah tidak lagi diperlukan. Sama-samalah kita menjauhi kesalahan yang diperundangkan itu supaya seluruh masyarakat tahu bahawa undang-undang itu sudah tidak relevan lagi kerana masyarakat telah terdidik.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia