Town Mall bakal hantui penonton di pawagam 26 Mac ini

Zainuddin (kanan), Nynaa dan Eizlan (dua dari kiri) pada Sesi Meet & Greet barisan pelakon Town Mall di Shah Alam semalam.
Zainuddin (kanan), Nynaa dan Eizlan (dua dari kiri) pada Sesi Meet & Greet barisan pelakon Town Mall di Shah Alam semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah filem adaptasi daripada novel bergenre seram terlaris karya Hasrudi Jawawi terbitan Buku Prima bakal menghantui pawagam 26 Mac ini.

Peminat novel seram pasti tertunggu-tunggu tayangan filem Town Mall yang dibarisi pelakon hebat tanah air seperti Datuk Seri Eizlan Yusuf, Reen Rahim, Intan Ladyana dan Nynaa Harizal.

Pemilik syarikat produksi Enuja Production Sdn Bhd, Zainuddin Mohd Ismail berkata, Town Mall adalah satu-satunya novel seram yang diadaptasi ke filem setakat ini dan pasti menjadi tarikan utama peminat novel bergenre itu.

“Pembaca novel ini sudah boleh membayangkan babak yang berlaku melalui gambaran yang terhasil daripada pembacaan mereka. Sudah tentu mereka mahu melihat gambaran melalui visual.

“Saya banyak menggunakan aksi, teknik imej janaan komputer (CGI) dan kesan bunyi khas untuk membangkitkan lagi keseraman penonton filem ini,” katanya selepas Sesi Meet & Greet barisan pelakon Town Mall iaitu Datuk Seri Eizlan Yusuf dan Nynaa Harizal di sini semalam.

Filem Town Mall bakal menghantui anda pada 26 Mac ini.
Filem Town Mall bakal menghantui anda pada 26 Mac ini.

Menurutnya, pembikinan filem Town Mall menelan belanja kira-kira RM1.3 juta dan mengambil tempoh 25 hari penggambaran.

“Tempoh editing mengambil masa hampir lapan bulan kerana saya mahu hasilkan teknik CGI yang memberi impak seolah-olah penonton menjadi sebahagian daripada watak Town Mall,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengarah dan juga pelakon Town Mall, Eizlan berkongsi keterujaannya yang pertama kali berlakon dalam filem seram dan turut melakukan sendiri aksi lasak.

“Ia mencabar kerana saya bukan hanya berperanan sebagai pelakon tetapi juga pengarah. Saya turut berpeluang melakukan sendiri aksi lasak. Saya cedera di bahagian dada sehingga tidak dapat bernafas.

“Paling penting ia berkisar daripada kisah benar dan filem ini wajib ditonton terutamanya penggemar novel seram,” katanya.

Eizlan mengambil peluang menceritakan mengenai cabarannya yang pertama kali berlakon dalam filem seram sambil diperhatikan Nynaa.
Eizlan mengambil peluang menceritakan mengenai cabarannya yang pertama kali berlakon dalam filem seram sambil diperhatikan Nynaa.

Filem yang akan menemui penonton di pawagam pada 26 Mac ini mengisahkan misteri sebuah bangunan terbengkalai. Desas-desus mengatakan projek itu terbengkalai disebabkan berlaku gangguan makhluk halus terhadap pekerja pembinaan dan jurutera yang menguruskan projek itu, menyebabkan projek itu tidak dapat disiapkan.

Selepas hampir 10 tahun terbengkalai, sebuah syarikat pembinaan tempatan yang terkenal di negara ini cuba menyambung semula kerja-kerja pembinaan dengan harapan bangunan itu akan menjadi sebuah pusat beli-belah terkenal dan terkemuka di bandar Seremban.

Mampukah projek itu disiapkan dengan sempurna tanpa ada masalah? Adakah gangguan makhluk halus yang mengganggu sebelum ini benar-benar sudah tiada? Apakah hal yang berlaku 10 tahun lalu tidak akan berulang kembali?

Pelakon Town Mall, Eizlan dan Nynaa beramah mesra dengan pengunjung jualan gudang di Shah Alam semalam.
Pelakon Town Mall, Eizlan dan Nynaa beramah mesra dengan pengunjung jualan gudang di Shah Alam semalam.