Jangan kejar gred A semata-mata

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ISU kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar sama ada pelajar dalam atau luar negara sudah menjadi topik perbincangan yang hangat dalam kalangan ahli akademik dan industri.

Definisi kecemerlangan yang dicapai oleh pelajar menjadi agenda utama perbahasan tersebut. Ramai dalam kalangan ahli akademik melihat kecemerlangan tersebut dalam konteks akademik semata-mata.

Indikator utamanya yang digunakan ialah dengan melihat jumlah gred A yang dicapai oleh pelajar yang terlibat. Jumlah gred A yang banyak memberikan gambaran bahawa pelajar yang terlibat adalah pelajar yang cemerlang.

Pihak industri mempunyai pandangan yang berbeza dalam memberi definisi kecemerlangan kepada pelajar.

Bagi pihak industri, kecemerlangan itu tertumpu bukan sahaja kepada jumlah gred A yang diperoleh semata-mata tetapi apa yang lebih penting ialah sejauh mana kemampuan pelajar yang terlibat mempamerkan kemahiran insaniah mereka seperti kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, menyelesaikan masalah dan bekerja dalam kumpulan.

Kemahiran insaniah adalah jauh lebih bermakna kepada pihak industri dibandingkan dengan jumlah gred A yang dimiliki oleh pelajar.

Perbezaan persepsi terhadap kecemerlangan itulah yang menyebabkan kadar pengangguran dalam kalangan pelajar ini meningkat.

Ini disebabkan mereka yang memperoleh jumlah gred A yang banyak gagal untuk memenuhi kehendak industri atau majikan kerana mereka kurang memiliki kemahiran insaniah yang diperlukan dalam sektor pekerjaan pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian, adalah amat penting kepada semua golongan terutamanya pelajar, ibu bapa dan masyarakat di negara ini terutamanya menilai semula definisi kecemerlangan yang digunakan agar selari dengan keperluan semasa seperti yang diperlukan oleh majikan pada masa kini dan akan datang.

Penekanan kepada pencapaian bilangan gred A semata-mata sebagai indikator utama untuk mengklasifikasikan sebagai cemerlang atau sebaliknya perlu diubah.

Semua pihak yang terlibat perlu memberi sokongan padu kepada usaha ini agar pelajar yang dihasilkan di negara ini bukan sahaja mampu mempamerkan keputusan akademik yang baik tetapi juga mampu mempamerkan pelbagai kemahiran insaniah yang diperlukan oleh majikan.

KemahiranDengan adanya kefahaman seperti ini, pastinya kadar kebolehpasaran graduan di negara ini akan meningkat pada masa akan datang.

Ini disebabkan kualiti pelajar yang dihasilkan bukan sekadar mempunyai tahap kecemerlangan akademik yang luar biasa dengan bilangan gred A yang banyak, tetapi mereka juga mampu meyakinkan majikan dengan kemahiran insaniah yang tinggi.

Menjadi suatu keperluan kepada setiap pelajar, ibu bapa dan masyarakat untuk tidak begitu memfokuskan kepada jumlah gred A yang diperoleh oleh setiap pelajar di negara ini.

Keseimbangan antara pencapaian cemerlang bidang akademik perlu diseimbangkan dengan pencapaian kemahiran insaniah mereka.

Hanya dengan memiliki keseimbangan di antara dua komponen ini, pelajar kita akan mampu bersaing dalam pasaran kerja dengan jayanya

Untuk membantu setiap pelajar memiliki segala kemahiran insaniah yang diperlukan, mereka perlulah melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan sekolah dan institusi pendidikan mereka.

Selain itu, penglibatan dengan pelbagai program antarabangsa juga membantu meningkatkan kemahiran insaniah mereka terutamanya kemahiran berkomunikasi dalam bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris.

Kesimpulannya, untuk mencapai kejayaan dalam pasaran kerja, setiap pelajar perlu mempunyai keseimbangan kecemerlangan akademik dan kemahiran insaniah yang baik.

Kedua-dua kecemerlangan itu wajar dimiliki oleh setiap pelajar kerana ia merupakan tiket yang diperlukan untuk bersaing sama ada di persada nasional ataupun antarabangsa.

Justeru, jangan habiskan waktu semasa berada di mana-mana institusi pengajian hanya untuk mengejar gred A semata-mata, tetapi meningkatkan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar turut menjadi keutamaan.

* Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pakar Sosiologi