Lawatan Azmin ke Jepun beri perhatian pada teknologi HSR

Azmin Ali
Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkara berkaitan cadangan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura adalah antara perkara diberi perhatian dalam kunjungan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Jepun baru-baru ini.

Menteri itu menjelaskan, tumpuan merangkumi input mengenai model perniagaan dan struktur kewangan yang perlu digunakan bagi membiayai projek seumpama itu.

Jepun mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengangkutan rel khususnya sistem Shinkansen yang wujud sejak puluhan tahun.

"Perkara ini akan terus dibincangkan. Sudah tentu teknologi Shinkansen ini adalah antara sistem yang terbaik di dunia yang boleh kita teliti untuk keperluan laluan rel Kuala Lumpur-Singapura," kata Ahli Parlimen Gombak itu semasa ditemui pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Gombak hari ini.

Disember lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, projek itu akan diteruskan, namun pengubahsuaian tertentu mungkin perlu dibuat bagi mengurangkan kos.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut diberi taklimat tentang teknologi pertanian pintar ke arah meningkatkan produktiviti hasil tanaman yang bertepatan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Menurutnya, Malaysia merupakan negara yang subur, berpotensi tinggi serta selamat daripada bencana alam bagi tujuan menghasilkan tanaman berkualiti tinggi.

"Kita mahu lihat bagaimana model yang digunakan oleh Jepun dalam usaha kita meningkatkan produktiviti sektor pertanian di sini," kata Mohamed Azmin.

Artikel Berkaitan:

Katanya, negara membelanjakan hampir RM60 bilion setahun untuk mengimport makanan, namun ia sebenarnya mampu mengeluarkan lebih banyak produk bahan makanan dengan teknologi baharu.

"Ini juga seiring dengan dasar kerajaan supaya golongan petani memiliki teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti hasil tanaman mereka sekali gus merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar kerana selama hari ini, pertanian sering kali dikaitkan dengan kemiskinan," katanya. - Bernama