Donald Trump balas dendam

Vindman (kiri) dan Sondland berdepan padah kerana membuka mulut ketika siasatan kes berhubung pemecatan Trump November lalu. - Foto Agensi
Vindman (kiri) dan Sondland berdepan padah kerana membuka mulut ketika siasatan kes berhubung pemecatan Trump November lalu. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam memecat dua saksi berprofil tinggi dalam siasatan berhubung kes pemecatannya.

Tindakan itu mencetuskan spekulasi bahawa pemimpin terbabit kini sedang melancarkan kempen ‘balas dendam’ terhadap individu yang menentang beliau dalam proses itu.

Pemecatan Duta AS ke Kesatuan Eropah (EU), Gordon Sondland dibuat beberapa jam selepas Leftenan Kolonel Alexander Vindman yang berkhidmat di Majlis Keselamatan Negara (NSC) diarah meninggalkan Rumah Putih.

Langkah penyingkiran mereka dilakukan dua hari selepas Senat dikuasai Republikan membebaskan Trump yang berdepan dakwaan menyalahgunakan kuasa dan menghalang siasatan Kongres yang disusuli ucapan ‘kemenangannya’ kerana berjaya mengekalkan jawatan Presiden AS.

“Saya dimaklumkan mengenai keputusan dan dipanggil pulang serta-merta oleh Presiden,” kata Sondland yang juga penyumbang dana politik Trump sebelum dilantik memegang jawatan duta tersebut.

Sementara itu, penyingkiran Vindman yang juga veteran perang Iraq lebih dramatik berikutan beliau diusir keluar dari pejabat NSC.

“Beliau diiring keluar dari Rumah Putih di mana beliau telah berkhidmat untuk negara dan Presiden. Vindman dipecat kerana mendedahkan kebenaran,” kata peguamnya, David Pressman.

Difahamkan, pasangan kembarnya, Leftenan Kolonel Yevgeny Vindman yang bergelar peguam di NSC juga disingkirkan serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Trump menerusi satu kenyataan menegaskan beliau mahu Vindman dipecat.

“Saya tidak gembira dengannya. Adakah anda rasa saya patut gembira dengannya?” sindirnya merujuk kepada Vindman.

November lalu, Vindman ketika memberi keterangan di hadapan Demokrat dengan berani mendedahkan Trump membuat permintaan tidak wajar kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

Jelasnya, Trump meminta Zelensky melancarkan siasatan ke atas pesaingnya, bekas Timbalan Presiden, Joe Biden menerusi panggilan telefon pada 25 Julai lalu.

Pendedahan itu telah menjadi fokus utama siasatan dilancarkan Demokrat.

Sondland yang turut mendedahkan cubaan Trump untuk meminta campur tangan asing itu mendakwa hanya mengikut arahan bilionair hartanah tersebut apabila beliau terpaksa mendesak pegawai di Kiev melancarkan siasatan.

Menurutnya, beliau bersama Setiausaha Tenaga, Rick Perry dan Wakil Khas Ukraine, Kurt Volker turut kecewa apabila terpaksa akur dengan arahan itu serta diminta bekerjasama dengan peguam peribadi Presiden, Rudy Giuliani yang memainkan peranan utama untuk memberi tekanan kepada Ukraine.

“Tindakan meminta campur tangan asing untuk melakukan siasatan atas tujuan untuk mempengaruhi pilihan raya AS akan datang adalah salah,”katanya.

Sebelum ini, Trump berulang kali menafikan tuduhan tersebut dan menyelar siasatan yang dilancarkan Demokrat.

“Kami melalui perkara ini selama lebih tiga tahun. Ia adalah satu pembohongan, perbuatan korup dan tidak patut berlaku kepada Presiden lain,” katanya. - Agensi