Margot Robbie tarikan utama Birds of Prey

Birds of Prey
Birds of Prey
A
A
A

SETELAH Suicide Squad yang diterbitkan pada tahun 2016 gagal menyerlah sebagaimana diharapkan, DC Extended Universe kembali tampil dengan sebuah naskhah anti hero, Birds of Prey: And The Fantabulous Emancipation Of One Harley Quinn (Birds of Prey).

Karakter Harley Quinn dalam Suicide Squad diangkat menerusi sebuah penceritaan menarik dengan mengangkat kekuatan wanita sebagai subjek utama, tanpa merendah-rendahkan kaum lelaki.

Filem arahan Cathy Yan itu mengisahkan tentang keadaan di bandar Gotham selepas kehilangan Batman, yang dibiarkan tanpa pengawasan.

Harley Quinn yang baru sahaja berpisah dengan Joker atau Mr. J, terjebak dengan permasalahan Cassandra Cain, selepas remaja itu diburu kerana mencuri berlian berharga milik ketua penjenayah, Black Mask.

Tanpa dirancang, Harley bekerjasama dengan Black Canary, Huntress dan Renee Montoya bagi melindungi Cassandra daripada kejahatan Black Mask.

Birds of Prey tampil dengan teknik penceritaan menerusi cerita daripada sudut pandangan teraju utamanya, Harley Quinn yang dilakonkan oleh Margot Robbie yang juga bertindak sebagai penerbit filem itu.

Teknik tersebut memudahkan penonton untuk memahami jalan cerita, sekali gus mengenali latar belakang karakter-karakter terlibat dan kaitan mereka antara satu sama lain. Teknik imbas kembali ternyata berjaya digunakan dengan baik untuk tujuan tersebut.

Selain tarikan jalan ceritanya, tumpuan utama filem itu tentunya kepada babak-babak aksi yang ditampilkan. Dari awal sehingga penghujung cerita, penonton dihiburkan dengan aksi pertarungan hebat dan menghiburkan.

Artikel Berkaitan:

Meskipun tampil dengan elemen humor komikal, pengarah bijak mengimbangi pengisian dengan babak aksi yang cemerlang. Malah suntingan kreatif yang dilakukan untuk naskhah itu juga menjadi nilai tambah yang perlu diberikan pujian.

Margot ternyata memberikan sepenuh komitmen kepada watak Harley dengan menampilkan lakonan yang sangat cemerlang. Bukan sahaja untuk sisi komedi yang ditunjukkan, tetapi aksi-aksi pertarungannya melibatkan dirinya disempurnakan dengan cukup baik.

Penonton dapat melihat bagaimana Margot tampil berbeza daripada wataknya sebagai gadis seksi dan menggoda dalam filem Bombshell yang menemui penonton penghujung tahun lalu kepada gadis ‘gila-gila’ yang licik serta lasak beraksi dalam Birds of Prey.

Bukan tidak ada kelemahan dalam filem itu, namun kekuatannya ternyata mengatasi sekali gus berjaya menutup kekurangan yang ada.

Rata-rata penonton termasuk pembaca Sinar Harian yang menjadi antara yang terawal menonton filem itu menerusi Tayangan Eksklusif Wayang HibSinar: Birds of Prey di TGV, 1 Utama pada 4 Februari lalu memberikan respon yang positif.

Filem: Birds Of Prey: And The Fantabulous Emancipation Of One Harley Quinn

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: P18

Genre: Aksi/pengembaraan

Durasi: 1 jam 49 Minit

Tarikh Tayangan: 6 Februari 2020

Pengarah: Cathy Yan

Pelakon: Margot Robbie, Mary Elizabeth Winstead, Jurnee Smollett-Bell, Rosie Perez