145 kanak-kanak di China diberi vaksin polio tamat tarikh luput

Seorang kanak-kanak menerima suntikan vaksin imunisasi bagi membasmi penyakit polio.
Seorang kanak-kanak menerima suntikan vaksin imunisasi bagi membasmi penyakit polio.
A
A
A

SHANGHAI - CHINA. Sekurang-kurangnya 145 kanak-kanak di timur China diberi vaksin polio yang sudah tamat tarikh luput, lapor media tempatan.

Menurut pengumuman yang dikeluarkan oleh kerajaan tempatan Jinhu, tiga pegawai kesihatan di wilayah terbabit telah dipecat dan lima lagi pegawai kini disiasat susulan kes yang dikesan pada awal minggu ini.

Semalam, stesen penyiaran CCTV melaporkan sepasang suami isteri pada awal minggu ini mendapati vaksin polio dengan tarikh luput 11 Disember telah diberi kepada kanak-kanak di sebuah klinik kesihatan kerajaan.

CCTV yang memetik sumber kerajaan berkata, selepas disiasat, kerajaan tempatan mendapati seramai 145 kanak-kanak telah diberi vaksin antara 11 Disember dan 7 Januari.

Menurut pegawai kesihatan, walaupun keberkesanan vaksin yang sudah tamat tarikh luput berkurang, namun ia tidak akan menjejaskan kesihatan.

Laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata mereka yang diberi vaksin yang sudah tamat tarikh luput tidak akan jatuh sakit tetapi mungkin tidak imun sepenuhnya.

Kerajaan mengarahkan vaksin tersebut disita dan semua jabatan berkaitan kesihatan diperiksa.

Vaksin polio berkenaan diberi oleh kerajaan untuk kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun.

Artikel Berkaitan:

Tahun lepas, China menjalankan pembersihan menyeluruh ke atas industri vaksin di negara itu ekoran timbul laporan bahawa pengeluar utama vaksin rabies China memalsukan rekod. – AFP