Gretel & Hansel, adaptasi dongeng klasik dalam versi moden

Gretel & Hansel
Gretel & Hansel
A
A
A
KISAH dongeng kanak-kanak sentiasa menarik perhatian dengan kisah pengembaraan yang cukup menyeronokkan. Namun berbeza dengan Gretel & Hansel, naskhah adaptasi daripada dongeng klasik tulisan Brothers Grimm yang diolah daripada sisi gelap menjadi sebuah filem seram moden.

Filem itu mengisahkan tentang seorang gadis muda, Gretel dan adiknya, Hansel yang terdesak meninggalkan rumah mereka demi mencari makanan dan pekerjaan selepas perkampungan mereka berdepan musibah wabak serta kebuluran.

Mereka tersesat dalam hutan yang tebal sebelum menjumpai sebuah pondok yang dihuni oleh seorang wanita tua bernama Holda. Gretel dan Hansel percaya mereka berjaya menemui tempat berteduh.

Namun kesangsian mula timbul apabila banyak makanan terhidang di rumah tersebut ketika zaman kebuluran, bisikan kanak-kanak yang sesat dan penjelmaan semula memberi petunjuk bahawa apa yang dilihat bukanlah seperti yang disangkakan.

Meski merupakan sebuah dongeng klasik, Gretel & Hansel edisi terbaharu tampil dengan sentuhan moden yang lebih segar dan relevan dengan pelbagai elemen kejutan hasil kreativiti penulis lakon layar, Rob Hayers dan pengarahnya Oz Perkins.

Gretel & Hansel versi moden itu ditukar sisi penceritaaanya daripada penceritaan bersama kepada sudut pandangan Gretel sekali gus menggabungkan kisah asal dan kehebatan kuasa wanita.

Bukan sahaja mengetengahkan jalan cerita menarik, tetapi karya itu juga sarat dengan mesej dan pengajaran yang disampaikan dengan cukup berkesan tanpa memaksa penonton untuk membuat penilaian sendiri kerana ia mudah untuk difahami.

Menariknya, pengembaraan dua karakter utama itu juga turut disokong dengan pembinaan set dan aspek sinematografi yang sangat mencuri perhatian. Malah apa yang ditampilkan sepanjang pengembaraan mereka tampak seperti benar-benar wujud dalam dunia nyata.

Antaranya rumah Holda yang berada di tengah hutan itu dibina dengan sangat unik dan mencuri perhatian penonton terutamanya kanak-kanak yang mudah tertarik dengan elemen-elemen kekaguman yang diletakkan.

Artikel Berkaitan:

Penggambaran filem ini dilakukan di beberapa buah lokasi di Ireland dan di Studio Ardmore, Wicklow. Ireland menjadi pilihan kerana mempunyai banyak lokasi hutan yang indah sebagaimana yang sering ada dalam kebanyakan cerita dongeng.

Tidak semata-masa bergantung kepada teknik CGI dan kesan khas, Perkins sebolehnya mahu memberikan gambaran babak yang paling nyata kepada penonton dengan mengadakan beberapa usaha pembinaan set nyata sebagai sokongan.

Begitu juga dengan penggunaan kostum unik untuk setiap karakter terlibat sekali gus untuk menggambarkan perwatakan yang mereka wakili dalam filem tersebut.

Semua kostum yang ditampilkan memang dihasilkan khusus untuk filem itu daripada pakaian, topi, kasut dan lain-lain semuanya dihasilkan oleh tukang khas. Malah Cincin Holda yang memainkan peranan dalam kisah tersebut direka khas oleh tukang emas dari Ireland.

Kostum Holda dilihat seolah-olah mempunyai rahsia di amna gaunnya dibuat daripada baldu dan mempunyai lisu di bahagian belakang dan ia beralun semasa dia berjalan. Begitu juga dengan kasutnya yang mempunyai tapak bergema sehingga terlihat sangat menyeramkan.

Perkins ternyata sangat peka dan teliti dalam setiap aspek yang ditampilkan dalam filem itu demi menjadikan Gretel & Hansel sebuah adaptasi dongeng klasik bersi moden yang diingati.

Jangan ketinggalan untuk menonton filem lakonan Sophia Lillis dan Samuel Leakey itu, yang bakal ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 6 Februari lalu.

Filem: Gretel & Hansel

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: P13

Genre: Seram

Durasi: 2 jam 5 Minit

Tarikh Tayangan: 6 Februari 2020

Pengarah: Oz Perkins

Pelakon: Sophia Lillis, Samuel Leakey, Charles Babalola, Jessica De Gouw, Alice Krige