Had rawatan dialisis percuma bukan arahan menteri

M Kula Segaran
M Kula Segaran
A
A
A

IPOH - Keputusan Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum ini yang menetapkan syarat baharu berhubung rawatan dialisis percuma terikat kepada tempoh dan jumlah caruman pencarum merupakan keputusan pertubuhan itu sendiri.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, segala keputusan berkaitan syarat baharu itu hasil mesyuarat pertubuhan berkenaan pada 15 Disember lalu dan ia dibuat di luar pengetahuannya.

"Keputusan Lembaga Perkeso untuk tidak menyediakan perkhidmatan dialisis kepada yang mencarum kurang daripada 24 bulan berbanding 12 bulan adalah keputusan mereka sendiri.

"Keputusan dibuat tanpa pengetahuan saya dan ada yang kata menteri yang arahkan, ia tidak benar. Saya telah mengarahkan pihak Perkeso menarik balik keputusan mereka," katanya.

Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata demikian kepada pemberita selepas memberi minuman percuma kepada orang ramai sempena sambutan Thaipusam yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye di Kuil Gunung Cheroh di sini semalam.

Sebelum ini, Lembaga Perkeso menjelaskan melalui Arahan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) Bil. 1/2020 yang berkuat kuasa pada 10 Januari lalu, kemudahan dialisis perlu mengikut syarat baharu kelayakan caruman yang ditetapkan selari dengan prinsip perlindungan sosial dan kemampanan dana keselamatan sosial untuk masa hadapan.

Bagaimanapun pada Khamis lepas, Lembaga Perkeso mengumumkan arahan baharu itu ditarik balik berkuat kuasa serta-merta sekali gus membolehkan semua pencarum yang layak termasuklah penerima bantuan ilat menerima kemudahan bantuan dialisis secara percuma seperti mana sebelum ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: