Lelaki libas parang ke arah polis ditembak

No Image Caption
A
A
A

KUNAK - Polis melepaskan dua das tembakan ke arah seorang lelaki warga Filipina yang bertindak mengejar dan melibaskan parang ke arah anggota polis yang sedang menjalankan Op Ice Breaker di Ladang Tingkayu di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata, lelaki berusia 22 tahun itu cedera di bahu kiri serta kanan dan polis turut merampas 17.25 gram dadah disyaki syabu yang dianggar bernilai RM2,587.50 daripada lelaki itu dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak menjalankan intipan apabila mereka mengesan suspek yang mencurigakan sedang memegang parang dan memakai beg di bahagian pinggang berehat di kawasan itu.

"Apabila polis mendekati dan memperkenalkan diri, suspek bertindak lari sambil melibaskan parang ke arah anggota bertugas sehingga polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, Nasri berkata, pemeriksaan terhadap beg pinggang milik suspek menemukan satu kotak rokok mengandungi satu paket lut sinar berisi dadah.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek memiliki rekod kesalahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: