Tentukan tindakan terhadap warga asing monopoli pasar borong

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

MERSING - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mengadakan mesyuarat dengan beberapa kementerian dalam waktu terdekat bagi menentukan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap peniaga warga asing yang memonopoli pasar borong.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementerian itu adalah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak segera dalam menangani isu ini, malah, beliau juga telah menerima banyak laporan daripada peniaga dan masyarakat mengenai isu ini.

“Saya turut menyaksikan sendiri hampir 100 peratus pasar borong dikuasai oleh peniaga warga asing dan ini tidak baik kepada perkembangan negara kerana menjejaskan pendapatan golongan petani dan peniaga tempatan.

“Sebelum ini, satu jawatankuasa khas bagi membincangkan perkara itu sudah pun wujud dan saya rasa kita perlu tunggu mesyuarat dalam masa terdekat untuk ambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Kluster Nanas Lestari (KNAL) Tanah Abang di sini hari ini.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan pada Isnin lepas, terdapat kebanjiran warga asing menguasai perniagaan di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur tanpa adanya kawalan pihak berkuasa. - Bernama

Artikel Berkaitan: