X

Kindly register in order to view this article
!

Rupa tampan tapi rupanya pembunuh bersiri

Wajah-wajah tampan lelaki, namun mereka sebenarnya adalah pembunuh.
A
A

DALAM dunia kriminologi, ternyata penjenayah tidak boleh dinilai hanya daripada paras rupa, penampilan dan juga harta benda.

Dunia baru-baru ini gempar apabila, seorang anak jutawan Thailand, Apichai Ongwisit, 40, yang kaya raya dan dianggap lelaki berpenampilan menarik rupa-rupanya seorang pembunuh misteri yang sangat kejam di Negara Gajah Putih itu.

Kisah Apichai mula terbongkar selepas seorang pekerjanya didakwa melihat kekejaman Apichai membunuh kekasihnya, Waringthorn Chaiyachet, 22.

Dengan hampir 300 tulang ditemui di dalam kolam di belakang rumahnya, polis percayai lelaki berwajah tampan itu telah membunuh lebih daripada seorang wanita.

Selain Apichai, fail jenayah antarabangsa menyaksikan terdapat ramai lagi pembunuh kejam yang sering kali menggunakan kekacakan dan gaya macho mereka untuk memperdaya mangsa.

Sinar Harian menyenaraikan beberapa pembunuh kacak yang paling disebut-sebut.

1. Ted Bundy (1970-an)

Seorang lelaki kacak, berperwatakan menarik namun berbalut tangannya seakan-akan mengalami kecederaan menghampiri gadis yang dilihat keseorangan, tidak berteman di Washington, Amerika Syarikat.

Bermodalkan senyuman manis dan tutur kata lembut, lelaki tersebut, Ted Bundy (Theodore Robert Bundy) meminta pertolongan gadis itu mengangkat buku atau apa saja barang untuk dimasukkan ke dalam keretanya.

Tanpa syak wasangka, ditambah pula ‘cair’ dengan ayat dan wajah Ted, mereka membantu lelaki tersebut tanpa mengetahui fakta bahawa dia merupakan pembunuh bersiri yang telah membunuh 30 gadis di negara itu sekitar tahun 1970-an.

Sebaik sahaja gadis itu berada di belakang kereta, Ted terus memukulnya sehingga pengsan. Itulah yang terjadi kepada Nancy Wilcox, Roberta Parks, Brenda Ball, Kimberly Reach, Katherine Devine dan ramai lagi mangsa lelaki berasal dari Vermont itu.

Bekas pelajar University of Utah itu kemudiannya membawa mangsa ke satu lokasi lain sebelum merogol dan membunuh semua wanita tersebut. Mayatnya kemudian disembunyikan dalam hutan yang jarang dikunjungi orang.

Bahkan, dia akan datang semula ke kawasan itu dan merogol mayat yang sudah mereput itu. Dalam sesetengah kes, dia turut menyimpan tengkorak mangsa di dalam apartmennya malah tidur bersama ‘trofinya’ itu. Gila bukan.

Ted Bundy antara pembunuh kacak paling digeruni di Amerika Syarikat sehingga kisahnya difilemkan. - Foto Getty Images
Ted Bundy antara pembunuh kacak paling digeruni di Amerika Syarikat sehingga kisahnya difilemkan. - Foto Getty Images

Kekejaman, kekerasan, kegilaan Ted menjadi mimpi ngeri buat wanita di Utah, Seattle, Oregon dan Washington. Dalam tempoh hanya enam bulan, enam gadis dilaporkan hilang di Oregon dan Washington, mencetuskan panik di sana.

Kebimbangan itu berterusan tatkala Ted aktif mencari mangsanya dari tahun 1974 hingga 1978. Begitupun, dia ditahan pada 1975 ketika sedang memandu di Salt Lake City dan polis menemui gari, topeng, tali dan beberapa barang lain dalam keretanya.

Ted dituduh menculik dan melakukan serangan, dimasukkan ke penjara sementara polis membuka siasatan bunuh terhadapnya. Begitupun, penahanan itu tidak menghalang kekejaman Ted, dia tidak berhenti membunuh.

Pada 1977, dia melarikan diri dari penjara ketika perbicaraannya berlangsung di Aspen, Colorado. Selepas beberapa minggu ditangkap, Ted berjaya sekali lagi berjaya meloloskan diri. Dua minggu berikutnya, dia kembali melakukan pembunuhan.

Beberapa tahun selepas itu, ketika dibicarakan ramai wanita tidak percaya Ted seorang pembunuh bersiri kerana paras rupanya dan perwatakannya yang tampan.

Akhirnya Ted mengaku bersalah membunuh 30 wanita dan dihukum mati menggunakan kerusi elektrik pada 24 Januari 1989.

2. Paul John Knowles (1970-an)

Bukan Ted seorang sahaja menggunakan ketampanannya untuk menggoda wanita sebelum merogol dan membunuh mangsanya. Paul John Knowles atau ‘The Casanova Killer’ juga merupakan lelaki kacak namun pembunuh bersiri kejam.

Lelaki ini digilai kerana pemakaiannya yang kemas dan selalu hadir dengan pakej lelaki macho dan memudahkannya untuk memikat wanita.

Paul John Knowles  - Foto Mindfuel
Paul John Knowles - Foto Mindfuel

Knowles mengaku bersalah membunuh 35 orang dan tiga pembunuhan pertamanya berlaku selepas dia putus cinta bersama seorang wanita bernama Angela Covic. Malam itu juga, Knowles membunuh tiga orang di satu jalan di San Francisco, Amerika Syarikat.

Bermula dari tiga orang itu, Knowles bergerak mencari mangsa lain. Dalam masa empat bulan sahaja, lelaki berasal dari Orlando, Florida itu telah membunuh 18 orang. Ada yang ditembak, dibunuh ketika bersiar-siar, ketika berkhemah malah ada mangsa yang dirogol.

Digelar Casanova Killer disebabkan rupa parasnya, polis tidak tahu penglibatannya dalam pembunuhan tersebut sehinggalah dia ditangkap. Daripada 20 mayat ditemui, tiga daripadanya adalah kanak-kanak dan tiga lagi adalah orang tua.

Mangsanya yang dibunuh dalam tiga negeri berbeza menyebabkan polis sukar mengenal pasti perimeter kes. Pada saat itu, polis tidak pasti mereka sedang berhadapan dengan perogol, pembunuh, lelaki bersenjata atau lebih teruk semuanya.

Pada 18 Disember 1974, Knowles ditembak mati anggota polis yang ditugaskan untuk membawanya ke Georgia. Dia yang bergari dan duduk di belakang ditembak selepas cuba merampas senapang milik Sherif Earl Lee.

3. Richard Ramirez (1980-an)

Dilahirkan pada 28 Februari 1960 di Texas, Amerika Syarikat, kehidupan penuh masalah Richard Ramirez (Night Stalker) bermula dari dia kecil lagi namun pembunuhan pertamanya berlaku ketika usianya 24 tahun.

Mangsanya, seorang wanita warga emas berusia 79 tahun, Jennie Vincow. Wanita malang itu diserang secara seksual, ditikam dan dibunuh ketika Richard merompak rumah wanita tersebut. Serangan seterusnya berlaku sembilan bulan selepas kes berkenaan.

Richard Ramirez - Foto Getty Images
Richard Ramirez - Foto Getty Images

Pada 17 Mac 1985, lelaki itu menyerang Maria Hernandez namun wanita itu berjaya melarikan diri. Mungkin kerana tidak berpuas hati, dia kemudiannya membunuh rakan sebilik Maria, Dayle Okazaki.

Masih lagi tidak berpuas hati dengan serangan itu yang mengorbankan satu nyawa tidak bersalah, Richard kemudian tanpa kesal menembak dan membunuh Tsai Lian Yu pada petang hari yang sama.

Hanya 10 hari selepas itu, dia membunuh pula Vincent Zazzara, 64, dan isterinya yang berusia 44 tahun. Dia menembak mati Vincent sebelum melakukan serangan seksual ke atas isterinya sebelum menikamnya sehingga mati.

Malah, pembunuh gila itu turut mengorek mata Vincent. Dalam hanya satu tahun, Richard telah membunuh lebih 12 orang dan menyeksa 25 mangsa.

Dia ditangkap pada 31 Ogos 1985 selepas cedera dipukul orang awam ketika cuba mencuri kereta. Selepas melalui beberapa sesi perbicaraan, Richard akhirnya disabitkan bersalah terhadap 43 pertuduhan termasuk 13 kes bunuh, lima cubaan bunuh dan 11 serangan seksual.

Menariknya, ketika dipenjarakan Richard menerima 75 pucuk surat daripada peminatnya, Doreen Lioy. Mereka kemudiannya berkahwin pada 1996 di California’s San Quentin State Prison.

Sewaktu di dalam penjara, Richard tetap menerima surat daripada wanita-wanita yang meminatinya. - Foto Getty Images
Sewaktu di dalam penjara, Richard tetap menerima surat daripada wanita-wanita yang meminatinya. - Foto Getty Images

Richard meninggal dunia pada 7 Jun 2013 ketika umurnya 53 tahun akibat beberapa komplikasi penyakit.

Dengan renungan menggoda, rahang dan tulang pipi yang terletak, Ramirez dilabel antara pembunuh bersiri paling tampan dalam sejarah.

4. Charles Sobhraj (1970-an)

Dilahirkan di Vietnam pada tahun 1944, Charles Sobhraj dikatakan telah meragut nyawa 24 orang. Sobhraj mula melakukan jenayah ketika berada di Paris, Perancis malah ditangkap kerana mencuri pada tahun 1960-an.

Kesnya yang paling mendapat perhatian adalah apabila dia membunuh 10 orang pendaki gunung di beberapa laluan dalam Thailand, Nepal dan India. Biasanya dia akan memberi dadah kepada mangsanya terlebih dahulu sebelum membawa mereka jauh ke kawasan luar bandar.

Modus operandi digemari Sobhraj adalah membuatkan mangsanya sakit menggunakan apa saja bahan dan kemudian dia akan mencekik, memotong mangsanya dengan pisau, menembak mereka dan kemudian akan merosakkan mayat mangsanya.

Charles Sobhraj dengan kekasihnya seorang wanita Kanada pada tahun 1986. - Foto REX USA
Charles Sobhraj dengan kekasihnya seorang wanita Kanada pada tahun 1986. - Foto REX USA

Selain 10 mangsa tersebut, lelaki gila itu telah membunuh pelancong Amerika, Teresa Knowlton di Delhi, India pada 10 Oktober 1975. Vitali Hakim, rakyat Turki juga dibunuh dan mayatnya dibakar.

Di Bangkok, Thailand, Sobhraj terus mengganas. Dia mencekik Stephanie Parry sampai mati. Sebulan kemudian, dia membunuh warga Belanda, Cornelia Hemker dan Henricus Bitanja pada 16 Disember 1975, kemudiannya membakar mayat mereka.

Beberapa hari sebelum Krismas, rakyat Kanada, Laurent Carriere dan warga Amerika Syarikat, Connie Bronzick pula menjadi mangsa pembunuh itu. Mayat mereka dijumpai di Kathmandu, Nepal, mayat mereka juga ditemui dalam keadaan rentung.

Sobhraj terus mencari mangsanya di seluruh Asia, membunuh rakyat Israel, Allen Jacobs di Varanasi, utara India. Di Bombay pula, dia membunuh pelancong Perancis, Jean-Luc Solomon.

Ketika ditangkap, tanpa rasa bersalah Sobhraj berkata: “Saya tidak pernah membunuh orang yang baik.”

Meskipun melakukan banyak pembunuhan, hukuman terhadap Sobhraj tidaklah begitu berat. Pada 17 Februari 1997, dia dibebaskan dari penjara di India dan pulang ke Perancis. Begitupun, lima tahun lepas dia dikesan berada di Kathmandu.

Seorang wartawan yang ternampak kelibatnya segera melaporkan perkara itu kepada polis. Dia ditahan dua hari kemudian dan dituduh melakukan beberapa siri pembunuhan. Sobhraj kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

5. Tiago Henrique Gomes da Rocha (2000-an)

Pengawal keselamatan yang berusia 26 tahun ketika ditangkap itu mengakui dia tidak mengenali semua mangsanya, 39 orang keseluruhannya.

Modus operandi Tiago Henrique Gomes da Rocha tidak sama seperti pembunuh lain yang menggoda mangsanya terlebih dahulu. Gomes da Rocha tidak langsung menggoda atau bertanya nama, dia terus datang dan menembak mangsanya.

Tiago Henrique. - Foto AFP
Tiago Henrique. - Foto AFP

Difahamkan, lelaki itu akan membunuh mangsanya ketika menunggang motosikal di jalan sekitar Goiania, Brazil. Apabila mengesan mangsa, Rocha akan menjerit 'rompakan' sebelum menembak mangsa.

Selepas mangsanya mati, dia terus beredar, tidak mengambil sebarang harta milik mangsa.

Lazimnya dia menyasarkan gelandangan, wanita dan golongan homoseksual. Mangsanya yang paling muda ialah gadis berusia 14 tahun yang dibunuh pada Januari 2014. Daripada keseluruhan 39 mangsanya, 16 daripadanya merupakan golongan wanita.

Dalam temu bual bersama media tempatan, Rocha mengakui kebanyakan mangsanya ditembak ketika dia sedang menunggang motosikal.

Dia juga sering menukar nombor plat motosikalnya dengan mencurinya dari motosikal lain bagi mengelak dikesan namun kerana tindakan itu jugalah, polis menahannya pada Oktober 2014 kerana disyaki menggunakan nombor plat curi.

“Saya hanyalah budak biasa sehinggalah saya berusia 11 tahun. Jiran saya mendera saya secara seksual.

“Selepas itu, saya rasa jiwa saya kosong. Dari satu segi, saya juga adalah mangsa,” katanya ketika ditemu bual di dalam penjara.

Tiago Henrique sewaktu dibicarakan di mahkamah. - Foto emaisgoias
Tiago Henrique sewaktu dibicarakan di mahkamah. - Foto emaisgoias

Menurutnya, kemarahannya semakin bertambah ketika membesar. Apabila dia semakin dewasa, kemarahan itu semakin terserlah dan dia mengakui tidak mampu untuk mengawalnya.

Kini pembunuh psiko itu meringkuk dalam penjara selepas dijatuhkan hukuman selama 25 tahun setelah mengaku bersalah pada 2016.

6. Ted Bundy Thailand (2020)

Kes ini baru saja terjadi di negara jiran kita, Thailand. Apichai Ongwisit ditahan pada 20 Januari lalu selepas polis menemui 298 tulang manusia dalam kolam di belakang rumahnya.

Apichai adalah anak kepada ahli perniagaan kaya di Thailand, Chalermchai Ongwisit. Bapanya sendiri pernah didakwa membunuh remaja perempuan berusia 15 tahun pada 1983.

Dalam kes terbaru itu, Apichai ditahan di rumahnya di Bangkok selepas polis menemui rangka kekasihnya, Warinthorn Chaiyachet, 22, dalam keadaan berbungkus dan ditanam berhampiran rumahnya.

Apichai Ongwisit - Foto Polis Thailand
Apichai Ongwisit - Foto Polis Thailand

Keluarga mangsa mengenal pasti ia adalah mayat Warinthorn berdasarkan tatu ikan yang besar di belakang badan wanita itu.

Polis kemudian mengesyaki mungkin terdapat dua lagi mayat wanita dicampak ke dalam kolam tersebut. Penyelam diarahkan masuk ke dalam kolam dan mengejutkan, mereka menjumpai hampir 300 tulang manusia di dalamnya.

Tidak dapat dipastikan berapakah jumlah mangsanya namun polis masih menyiasat kes tersebut dan cuba mengenal pasti mangsa yang mungkin menjadi korban Apichai.

Polis terpaksa menggunakan pasukan penyelam untuk mencari rangka dan bukti di kolam air di rumah Apichai. - Foto Viralpress
Polis terpaksa menggunakan pasukan penyelam untuk mencari rangka dan bukti di kolam air di rumah Apichai. - Foto Viralpress

Kes tersebut pantas menjadi bualan mulut masyarakat Thailand dan media mengaitkan Apichai dengan Ted Bundy yang dikenali kerana membunuh lebih 30 wanita di Amerika Syarikat.

Polis kini menahan Apichai dan akan melihat semula beberapa kes kehilangan wanita di sekitar kawasan itu dan memeriksa adakah ia ada kaitan dengan lelaki berusia 40 tahun itu.