Mana ada ceroboh!

Osman (dua, kanan) sewaktu Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana dan Program 'Back To School' di Batu Pahat.
Osman (dua, kanan) sewaktu Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana dan Program 'Back To School' di Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan negeri menafikan dakwaan laporan sebuah portal berita Singapura yang mendakwa lima kapal Malaysia memasuki perairan republik itu sewaktu membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman, Rabu lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, berkata, beliau yakin kedudukan lima kapal berkenaan masih berada di dalam kawasan perairan Malaysia kerana dipandu oleh pasukan keselamatan Malaysia terdiri daripada polis dan Jabatan Laut yang arif tentang sempadan dua negara.

"Mereka (pasukan keselamatan) juga tahu kawasan perairan dan sempadan dua negara dan sudah pasti kita tak akan masuk kawasan mereka kerana kita menghormati undang-undang kedua-dua belah pihak.

"Jadi, saya rasa kawasan yang saya lawat ketika bukannya kawasan Singapura sebab polis kita sendiri pun boleh masuk dan tujuan lawatan itu bukannya mahu membuat provokasi sebaliknya hanya mahu melihat pasukan keselamatan kita bertugas," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana dan Program 'Back To School' di Dataran Perdana SMK Suria Perdana, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Exco Agama dan Pendidikan dan negeri, Aminolhuda Hassan; Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Sharif dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkifli Abas.

Menurutnya, setiap dua minggu sekali juga, beliau akan menghantar bekalan makanan kepada pasukan keselamatan yang bertugas di perairan sempadan Malaysia-Singapura dan beliau juga menyifatkan Singapura tidak seharusnya risau berkenaan lawatan tersebut.

"Kalau ikut ulasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam YouTube dan Facebook, beliau juga secara jelas mengatakan memang terdapat kapal Malaysia di kawasan itu dan bila PM dah cakap macam itu, memang kita tidak mencerobohlah.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun ini hanya lawatan kemanusiaan terhadap anggota keselamatan kita yang bertugas di kawasan itu dan saya rasa kita tidak perlu beritahu mereka (Singapura) berkenaan lawatan ini dan mereka pun tidak perlu risau kerana kita tidak menceroboh pun kawasan mereka," katanya.

Kelmarin, laporan berita republik berkenaan menyiarkan beberapa gambar ihsan daripada Pasukan Polis Singapura yang memaparkan kapal dinaiki Osman jelas diambil dari jarak jauh.

Menurut laporan berkenaan lagi, lima kapal Malaysia berada dalam perairan Singapura di Tuas pada jam 6 petang, Rabu, sehari selepas kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi menangani pertikaian maritim.