Pas khas untuk pelancong China terkandas

Sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas pelawat China dari wilayah Hubei termasuk Wuhan akan diperluaskan meliputi wilayah lain.
Sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas pelawat China dari wilayah Hubei termasuk Wuhan akan diperluaskan meliputi wilayah lain.
A
A
A

PETALING JAYA - Pelancong warga China yang mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar dari negara ini akan diberikan pas khas selepas mendapat perakuan daripada Kedutaan China.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ia susulan tindakan sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap pelancong dari wilayah Hubei termasuk Wuhan, China ekoran penularan koronavirus baharu.

“Visa mereka tidak akan dilanjutkan kecuali mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapat penerbangan keluar.

“Mereka (pelancong) mesti datang ke pejabat imigresen dengan membawa tiket penerbangan keluar dan mendapat perakuan daripada Kedutaan China untuk memohon pas khas berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi di sebuah pangsapuri di Ara Damansara di sini awal pagi tadi.

Khairul Dzaimee berkata, tetapan itu mula berkuat kuasa sejak 27 Januari lalu.

“Mereka yang menerima pas khas akan diberi tempoh selama dua minggu atau 30 hari mengikut tarikh penerbangan keluar,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sekatan perjalanan ke Malaysia dikenakan ke atas pelawat China dari wilayah Hubei termasuk Wuhan akan diperluaskan meliputi wilayah lain selepas dikenakan sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) oleh kerajaan China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu diputuskan setelah mengambil kira status semasa berhubung wabak koronavirus.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memaklumkan imigresen akan mengambil tindakan sekatan perjalanan sebaik sahaja kerajaan China mengisytiharkan sesebuah wilayah di ‘lockdown’.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Kerajaan gantung sementara visa warga China