Menjelang perang besar

A
A
A

AWANG dengar begitulah, menjelang bulan Mei ini akan berlaku perang besar di negara kita. Kata yang empunya cerita, ia melibatkan Tun Perdana Menteri dengan Tuk Seri Anwar Ibrahim. Khabarnya kem Tuk Seri Anwar dah siap sedia nak isytihar perang ke atas Tun Perdana Menteri. Berundur atau kami akan buat sesuatu, begitulah lebih kurang.

Awang dengar masing-masing dah bersiap sedia. Dah ada kiraan berapa ahli Parlimen yang akan sokong Tun Perdana Menteri dan yang sokong kem Tuk Seri Anwar. Khabarnya dua kem itu ialah Pakatan Nasional yang sokong Tun Perdana Menteri dan Pakatan Harapan yang sokong Tuk Seri Anwar.

Bukan rahsia lagi bahawa kerja melobi ahli-ahli Parlimen dah lama berjalan. Tuk Seri Hishammuddin Hussein bekerja di belakang tabir untuk dapatkan sokongan orang UMNO. Pas pula memang tak mahu ada undi tak percaya atau perubahan pimpinan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Sehari dua dulu khabarnya kem yang sokong Tun Perdana Menteri ada 121 orang dan yang sokong Tuk Seri Anwar 101 orang. Khabarnya semua 42 ahli Parlimen DAP sokong Tuk Seri Anwar. Mereka tahu Tun Perdana Menteri tak selesa dengan DAP dalam pakatan sekarang. Macam jadi liabliti saja.

Parti Gabungan Sarawak (GPS) mulanya hampir sepakat sokong Tun Perdana Menteri tapi dalam mesyuarat majlis tertingginya pada malam Khamis lepas, ketua gabungan itu, Datuk Patinggi Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak kata, mereka tak sokong mana-mana pihak. Mereka akan bergerak sendiri dan jadi pemerhati.

Nampaknya sekurang-kurangnya seramai 16 ahli Parlimen GPS (daripada 18 semuanya) tak bersama Pakatan Nasional Tun Perdana Menteri. Kem Tuk Seri Anwar tambah 16 lagi, jadi 117. Kem Tun Perdana Menteri tinggal 105.

Inikah kerja orang politik?

Awang cuma sedih sikit, belum pun habis demam PRU14, kita dok bertelagah lagi. Kali ini nak rebut pula tempat nombor satu. Awang dah jangka hal ini akan berlaku. Selagi Tun Perdana Menteri tak buat pengumuman bila beliau berundur, selagi itulah politik kita tak stabil.

Memang Tun Perdana Menteri kata dia nak berundur dan serah pada Tuk Seri Anwar tapi cakap itu banyak makna berlapis. Tak jelas. Oleh sebab itu, Tuk Seri Anwar rasa gelisah. Dia pun makin tua. Nak juga pegang jawatan PM.

Artikel Berkaitan:

Lagi pun rakyat dah tak senang dengan kerajaan PH. Janji macam-macam tapi tak ditunaikan. Ekonomi makin teruk. Harga barang tak turun. Pekerja banyak kena buang. Kes wabak koronavirus akan jejaskan ekonomi kita yang memang dah teruk.

Dari segi politik pula, kerajaan PH pimpinan Tun Perdana Menteri macam dah hilang kepercayaan rakyat. Lima kali dah kalah pada pilihan raya kecil. Tuk Seri Nuar pandai gunakan rasa tak puas hati rakyat untuk tujuan itu.

Oleh sebab itu dia sasarkan ahli Parlimen. Ahli Parlimen didesak oleh pengundi. Mereka mahu kehidupan yang lebih baik di bawah PH. Bila tak ada tanda perubahan, mereka mahukan perubahan.

Awang cuma nak ingatkan orang politik, buatlah kerja untuk rakyat. Baiki hidup rakyat. Kalau asyik nak berkonspirasi dan jatuh menjatuh satu sama lain, bila nasib kami di bawah ini nak dibela?