Pesawat awam 'terselamat' serangan udara Israel

Tentera Syria melancarkan senjata antipesawat terhadap misil yang dilancarkan Israel semalam. -Foto Agensi
Tentera Syria melancarkan senjata antipesawat terhadap misil yang dilancarkan Israel semalam. -Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - Sebuah pesawat awam terpaksa mengalihkan penerbangan mereka selepas serangan udara dilancarkan Israel ke atas pinggir bandar Damsyik telah mengaktifkan sistem pertahanan udara Syria.

Kementerian Pertahanan Rusia semalam memaklumkan pesawat Airbus-320 dari Teheran ke Damsyik yang membawa 172 penumpang itu terpaksa melakukan pendaratan cemas di pangkalan tentera Moscow di Khmeimim, Latakia susulan berdepan ancaman tersebut.

“Serangan itu berlaku pada jam 2 pagi (waktu tempatan) apabila empat jet pejuang F-16 milik Israel melancarkan kira-kira lapan misil dari luar ruang udara Syria.

“Tindakan pantas dan operasi cekap sistem kawalan trafik udara berjaya mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujar jurucakap kementerian itu, Mejar Jeneral Igor Konashenkov.

Pada 2018, Moscow pernah mengkritik Tel Aviv kerana mendatangkan bahaya kepada dua pesawat penumpang ketika serangan udara dilancarkan tentera Israel pada 2018.

Bulan lalu, Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) tertembak jatuh pesawat Ukraine secara tidak sengaja dan mengorbankan kesemua 176 penumpang ketika ketegangan memuncak antara Iran dan Amerika Syarikat susulan insiden pembunuhan komander tertinggi mereka, Leftenan Jeneral Qasem Soleimani. - Agensi

Artikel Berkaitan: