Rundingan fasa kedua Perjanjian Air 1962 positif, meyakinkan

Marzuki sewaktu hadir menjadi tetamu rancangan bual bicara SinarLive di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.
Marzuki sewaktu hadir menjadi tetamu rancangan bual bicara SinarLive di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Rundingan semula Perjanjian Air Sungai Johor 1962 di antara kerajaan Malaysia dan Singapura bagi fasa kedua kini berlangsung dalam suasana positif dan meyakinkan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, pihaknya mengesahkan proses perbincangan rundingan semula harga air melalui perjanjian itu sedang rancak berjalan.

Menurutnya, delegasi Singapura diketuai Menteri Luarnya, Dr Vivian Balakrishnan datang ke Malaysia bertemu dengan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah minggu lalu bagi meneruskan rundingan itu.

"Melalui pertemuan itu, saya nampak ada perkembangan positif terhadap rundingan semula harga baharu air yang turut disertai Peguam Negara dari kedua-dua negara.

"Sesi rundingan semula itu turut berlangsung dalam suasana positif dan meyakinkan," katanya kepada Sinar Harian.

Hari ini, laporan muka hadapan Sinar Harian mendedahkan saranan tokoh undang-undang dan pakar industri air kepada kerajaan untuk melakukan kajian terhadap perjanjian lapuk seperti Perjanjian Air Sungai Johor.

Perjanjian air di antara Singapura dan Malaysia sejak tahun 1962 itu sudah dianggap tidak munasabah pada ketika Malaysia sendiri bakal berdepan krisis air dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Pakar Undang-Undang, Prof Datuk Salleh Buang tanpa berselindung menyatakan beliau bersetuju sekiranya perjanjian itu dirunding semula.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod, Malaysia sudah menggerakkan usaha mengkaji semula harga air mentah dijual kepada Singapura sejak tahun 1998.

Bagaimanapun, beberapa rundingan pada 1998 hingga 2002 gagal mencapai persetujuan mengenai harga air mentah itu menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri keempat ketika itu mengambil keputusan menamatkan rundingan pada 2002.

Pemerintah Singapura sebelum ini mencadangkan harga 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga 2011 dan 60 sen mulai tahun 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia tidak bersetuju dengan harga itu dan mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bagi 1,000 gelen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 bagi 1,000 gelen untuk 2011 hingga 2061.

Marzuki berkata, kerajaan Malaysia akan mencari pendekatan terbaik bagi memastikan rundingan itu dapat diselesaikan dengan baik dan memberi situasi 'menang-menang' kepada kedua-dua negara.

Mengakui rundingan perjanjian air yang sudah berlangsung lebih 21 tahun itu merupakan satu cabaran besar kepada kementeriannya, Marzuki menegaskan, kerajaan juga akan memastikan ia dapat diselesaikan dalam tempoh tidak terlalu lama.

"Apa rundingan dibuat sudah pasti ada cabarannya tetapi kita akan cari pendekatan terbaik untuk memastikan rundingan dapat diselesaikan.

"Paling penting, penyelesaian itu perlulah berkeadaan 'win-win' antara Malaysia dan Singapura dengan rundingan itu diharapkan berlangsung dalam tempoh tidak terlalu lama," katanya.

Perjanjian Air Sungai Johor 1962 membenarkan Singapura mendapatkan 250 juta gelen air dari Sungai Johor sehingga tahun 2061 pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air.

Perjanjian kedua daripada siri perjanjian air Singapura-Johor itu turut membolehkan Singapura menjual semula bekalan air dirawat kepada Malaysia pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Perjanjian Air Sungai Johor 1962 turut didaftarkan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dijamin di bawah Perjanjian Pemisahan 1965 yang membolehkan Singapura menjadi negara merdeka.