Pan Borneo: Baru Bian beri jaminan WPC tak akan diberhentikan

Baru Bian -Foto Bernama
Baru Bian -Foto Bernama
A
A
A

BINTANGOR - Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kontrak pakej kerja (WPC) untuk projek Lebuhraya Pan Borneo tidak akan diberhentikan walaupun berlaku penamatan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) sebagai rakan pelaksana (PDP) projek itu.

Beliau berkata, WPC itu akan digantikan dengan kontrak yang baharu.

“Tidak perlu rasa bimbang mereka akan diberhentikan. Projek itu akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan projek Pembinaan Semula dan Baik Pulih Sekolah Daif di Sarawak (Pakej 5) di Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor di sini hari ini.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata demikian ketika ditanya mengenai nasib WPC berikutan Surat Penamatan Bersama yang ditandatangani kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sarawak dan syarikat PDP di Putrajaya semalam.

Antara kontraktor utama yang terlibat dalam projek lebuh raya mega itu adalah Maltimur Resources Sdn Bhd, Konsortium URW Sdn Bhd, Konsortium KPE Sdn Bhd, Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn Bhd, Samling Resources Sdn Bhd, Zecon Kimlun Consortium Sdn Bhd, HSL DMIA JV Sdn Bhd dan Naim Gamuda JV Sdn Bhd.

Menurut Baru, sebanyak RM3.1 bilion dapat dijimatkan berikutan penamatan perjanjian dengan syarikat PDP yang boleh digunakan untuk projek pembangunan infrastruktur lain di Sarawak.

“Menteri Kewangan telah memberi jaminan bahawa nilai yang dapat dijimatkan itu akan dikembalikan kepada Sarawak dan ini adalah satu berita baik untuk kita. Ia dapat digunakan untuk melaksanakan projek lain seperti pembangunan infrastruktur negeri,” katanya.

Beliau berkata, tanpa model PDP itu, kementeriannya dan Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak dapat memantau projek terbabit untuk memastikan ia berjalan lancar dengan menitikberatkan soal keselamatan pengguna jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, projek di Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor membabitkan pembinaan dua blok bangunan dengan masing-masing mengandungi empat bilik darjah yang bermula September lalu telah siap dua bulan lebih awal daripada jadual dengan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) oleh Cekapplex Sdn Bhd.

Dua lagi projek di bawah pakej 5 adalah SK Ulu Entaih dan SK Ulu Entabai, dalam daerah Julai dan ketiga-tiga projek itu membabitkan kos keseluruhan RM7.1 juta. - Bernama