Penjelasan penulis 'Jangan bebankan rakyat'

A
A
A

SAYA merujuk kepada rencana yang saya nukilkan di bawah judul 'Jangan bebankan rakyat' yang disiar oleh Sinar Harian pada 11.01.2019 dan disiarkan online oleh SH Online pada jam 11.15pm 10.01.2019.

Sehingga jam 8am 11.01.2019, respons dari pembaca kepada rencana tersebut ialah kurang lebih 10k "likes; 300 komen yang kebanyakannya mengutuk penulis dan 500 kongsi.

Rencana tersebut juga telah ditulis dalam Bahasa Inggeris dan telah disiar dalam FMT pada 08.01.2019 dibawah tajuk "The King and the people".

Reaksi kepada rencana tersebut dalam Bahasa Inggeris tidak menggundang apa-apa reaksi negatif atau marah daripada pembaca malah telah mencetuskan perbincangan yang sihat dan positif.

Malangnya bila ianya diterjemah dan disiar dalam Bahasa Malaysia, ianya telah menggundang reaksi negatif dan marah dari sebahagian golongan pembaca.

Adalah langsung tidak menjadi niat penulis untuk mencetus kemarahan dari pembaca mahupun menghasut pembaca untuk berpandangan negatif kepada YDPA mahupun Institusi Raja-raja.

Niat dan hasrat penulis ialah untuk memupuk perbincangan yang positif dan sihat berhubung dengan satu subjek yang sedang hangat diperkatakan rakyat sambil mendapat pencerahan dari pihak-pihak yang lebih arif tentangnya serta mencari iktibar dari perkembangan atau peristiwa yang telah berlaku.

Semuanya untuk menfaat bersama.

Artikel Berkaitan:

Perkara-perkara yang dinyatakan oleh penulis dalam rencana tersebut telah pun ditulis dan dilapor oleh akhbar-akhbar sebelum ini.

Semua itu adalah dalam pengetahuan umum. Rasanya tidak ada perkara baharu yang disebut oleh penulis.

Hanya ulasan dan penilaian penulis sahaja tentang isu-usu yang berbangkit dan peristiwa-peristiwa yang berlaku yang mungkin berbeza dari rencana-rencana yang ditulis oleh penulis-penulis lain.

Penulis akui bahawa tajuk "Agong letak jawatan, sebab musababnya" mungkin tidak sesuai bila dibaca konteksnya.

Kerana pada hakikatnya penulis tidak menyebut secara khususnya apakah sebab-musababnya. Penulis cuma menggarapkan beberapa kemungkinan yang entah betul ataupun tidak.

Sebab itu penulis mengatakan rakyat mungkin tidak akan tahu punca sebenar mengapa YDPA letak jawatan.

Selepas berkesempatan memikirkan tentangnya, penulis berpandangan mungkin adalah lebih wajar jika tajuk diubah dan dibaca sebagai "Agong turun takhta, rakyat berdukacita".

Dalam minda dan pemikiran penulis ialah hasrat untuk menjaga keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan menjaga sistem Raja Berpelembagaan yang kita amali.

Penulis menyuarakan harapannya agar tidak tercetus pertembungan di antara kerajaan dan Institusi Raja-raja sepertimana berlakunya pada tahun 1983 dan 1993.

Kerana rakyat tak mahu dibebankan dengan tanggungjawab untuk memilih sama ada memihak kepada kerajaan atau Institusi Raja-raja.

Penulis berpandangan bahawa apa-apapun pilihan yang dibuat rakyat, negara akan retak dan berpecah dua.

Penulis tidak mahu rakyat diletak dalam keadaan dimana "Ditelan mati emak, diluah mati bapa" dan "Menang jadi arang, kalah jadi abu".

Penulis menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik dan pihak-pihak lain yang diberi kuasa agar mencari jalan dan cara yang berhemah untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku atau yang mungkin berlaku diantara mereka agar tumpuan boleh diberi kepada usaha-usaha yang lebih penting untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

Dan mengikut hemat penulis jalan penyeleaaian yang terbaik ialah untuk semua pihak menghurmati peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya didalam menunaikan tanggung-jawap masing-masing.

Penulis sentiasa berhati-hati dalam penulisannya agar setiap rencana yang ditulis bersandarkan kepada fakta dan apa-apa pendapat serta pandangan yang diolahkan dibuat secara berhemah dan sederhana.

Penulis langsung tidak berniat untuk mencari sensasi, mengeruhkan suasana atau menghasut.

Dalam konteks tersebut, penulis ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf jika rencana tersebut telah melebehi perbatasan yang wajar ataupun telah mengguriskan perasaan pembaca.

Segala kesilapan dan keterlanjuran adalah dari saya dan bukan dari pihak Sinar Harian.

Salam hormat.