RM1.102b diperuntuk untuk projek KKR di Sarawak tahun ini

Baru Bian
Baru Bian
A
A
A

SARIKEI - Sejumlah RM1.102 bilion telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek-projek baharu dan sedia ada di bawah Kementerian Kerja Raya di negeri Sarawak bagi tahun ini, kata menterinya, Baru Bian hari ini.

Katanya, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM6.17 bilion yang diluluskan untuk kementerian itu pada pembentangan Bajet 2020 tahun lalu.

“(Salah satu daripada) projek baharu yang diluluskan adalah Projek Membina Flyover Medan Jaya-Jalan Tun Hussein Onn di Bintulu yang dianggar bernilai RM153 juta, sedang di peringkat makmal kajian nilai dan dijangka akan dimulakan pada suku keempat tahun ini,” katanya selepas merasmikan Projek Menaik Taraf Jalan Kampung Seberang di sini.

Menurutnya projek-projek besar lain termasuk menaik taraf Jalan Datuk Musa KM 8 ke Bulatan Samarahan bernilai kira-kira RM243 juta dan pembinaan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (RM129.7 juta).

Selain itu, tiga projek penggantian jambatan uzur telah diluluskan dan dijangka dilaksanakan pada tahun ini melibatkan jambatan-jambatan di Sungai Semanju dan Sungai Lemanak di Lubok Antu serta Batang Undop di Sri Aman. - Bernama

Artikel Berkaitan: