Singapura naikkan tahap Dorscon daripada kuning kepada jingga

615549
615549
A
A
A

SINGAPURA - Singapura menaikkan tahap Sistem Tindak Balas Keadaan Wabak Penyakit (Dorscon) daripada kuning kepada jingga selepas beberapa kes jangkitan koronavirus dilaporkan di negara itu tiada kaitan dengan pesakit atau mempunyai rekod perjalanan ke China.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah berkuat kuasa serta-merta itu menjadikan seluruh aktiviti antara sekolah dan kegiatan luar akan digantung sehingga akhir Mac depan.

"Saya faham, penduduk Singapura berasa cemas dan bimbang. Masih banyak yang kita belum tahu tentang virus itu. Maklumat baharu muncul pada setiap hari. Kami jangkakan krisis ini mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk diselesaikan.

"Kehidupan bagaimanapun perlu diteruskan dan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga," lapor CNA memetik kenyataan Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan juga melakukan segala yang terbaik untuk menangani situasi tersebut bagi memastikan penduduk Singapura selamat.

Dorscon pada tahap jingga bermaksud penyakit tersebut dianggap sangat teruk dan mudah tersebar antara manusia, namun tidak merebak secara meluas serta masih terkawal.

Setakat ini, sebanyak 33 kes jangkitan koronavirus direkodkan di Singapura dan empat daripadanya tidak pernah berkunjung ke China atau kaitan dengan pesakit. - Agensi

Artikel Berkaitan: