Pensyarah dinobat johan qari Pahang tiga kali

Mohamad Syaheed
Mohamad Syaheed
A
A
A

KUANTAN - Pengalaman lalu ternyata memberi kelebihan buat pensyarah Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Mohamad Syaheed Sabri apabila muncul johan kategori qari tilawah al-Quran peringkat negeri Pahang kali ketiga malam tadi.

Mohamad Syaheed,28 mengulangi sejarah kemenangan tahun lalu dengan markah 92.5 peratus mengatasi 15 peserta lain dalam kategori itu.

Menurutnya, beliau tidak menyangka akan mempertahankan kemenangan itu kerana peserta yang bertanding berpengalaman dan mempunyai kelebihan masing-masing.

"Kali pertama saya dinobatkan johan pada tahun 2015 dan kali kedua pada 2019. Saya bersyukur kerana ALLAH sekali lagi mengizinkan untuk menjadi johan dalam pertandingan tahun ini.

"Kemenangan yang diperoleh hasil daripada latihan yang jitu sebelum pertandingan selain mendapat sokongan daripada keluarga dan isteri," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-63 yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri, Datin Seri Burhah Mohamed, Exco Hal Ehwal Agama Pelajaran dan Kesihatan, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Beliau berkata, walaupun markah yang diraih menurun berbanding tahun lalu, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus terlibat dalam pertandingan sebegini.

Artikel Berkaitan:

"Saya akui tajwid mungkin kurang sikit pada kali ini, tetapi saya akan perbaiki pada masa akan datang," katanya.