Bapa keliru status sah taraf anak

PERIHAL penentuan nasab tidak boleh dipandang remeh kerana ia akan memberi kesan yang besar terhadap anak tersebut.
PERIHAL penentuan nasab tidak boleh dipandang remeh kerana ia akan memberi kesan yang besar terhadap anak tersebut.
A
A
A

HALIM (bukan nama sebenar) merupakan seorang duda. Sudah setahun beliau dan bekas isterinya, Suzana (bukan nama sebenar) bercerai.

Perceraian itu begitu menyakitkan hatinya. Namun, segala keperitan itu ditanggungnya sendiri. Derita itu bukan disebabkan oleh perceraian tersebut, tetapi hatinya terluka disebabkan oleh sikap Suzana sendiri.

Amat sukar untuk beliau melupakan peristiwa pahit tatkala hidup bersama Suzana sebagai pasangan suami isteri sebelum ini.

Mereka bercerai ketika Suzana sedang mengandungkan anak sulung. Kandungannya ketika itu baru berusia dua bulan.

"Saya mengandungkan anak orang lain," kata Suzana kepada Halim sebelum mereka bergaduh besar.

Ayat itu meskipun ringkas, namun sudah cukup 'merentap' jantung Halim. Hati lelakinya begitu perit, egonya mula memuncak. Terasa dirinya dayus kerana membiarkan isterinya bersama lelaki lain. Sepantas itulah, terpacul lafaz talak dari bibirnya.

Perceraian itu kemudian disahkan di mahkamah syariah. Seingat Halim, itulah kali terakhir beliau bertemu Suzana. Lelaki itu sebenarnya sudah menutup 'buku' dan pintu hatinya untuk bersua dengan Suzana.

Artikel Berkaitan:

KEPADA mereka yang menghadapi keraguan berkaitan perihal nasab, dinasihatkan agar membuat permohonan pengesahan nasab di mahkamah tinggi syariah yang berdekatan.
KEPADA mereka yang menghadapi keraguan berkaitan perihal nasab, dinasihatkan agar membuat permohonan pengesahan nasab di mahkamah tinggi syariah yang berdekatan.

Namun, sangkaannya meleset. Memang sudah tidak dapat dielakkan 'pertemuan' yang datang tidak disangka-sangka. Takdir menemukan mereka semula. Suzana datang membawa seorang bayi perempuan setahun selepas mereka bercerai.

Dadanya bertambah sesak saat mengetahui bayi yang diberi nama Melati (bukan nama sebenar) berbintikan namanya.

"Itu bukan anak aku. Bayi itu tidak boleh berbintikan dengan nama aku," tegas Halim.

Namun, Suzana tidak mengendahkannya dan mengatakan Melati berhak berbintikan nama Halim kerana wanita itu diceraikan ketika tempoh idah mengandung.

Bukan sekali pertemuan itu, tetapi berkali-kali kehadiran Suzana dan Melati 'menghantui' hidupnya. Malah, rakan-rakannya pula mula menyimpan prasangka terhadapnya kerana sikap tidak acuhnya terhadap anak berkenaan.

Bagaimana mahu menerima kewujudan anak tersebut? Sedangkan gara-gara bayi itulah, ia menjadi punca Halim dan Suzana bercerai. Hatinya bertambah luka saat dikhabarkan oleh Suzana sendiri bahawa dirinya pernah terlanjur dengan lelaki lain ketika mereka masih bergelar suami isteri.

Mujur Halim dikurniakan seorang sahabat yang prihatin. Atas nasihat rakannya itu, Halim melakukan ujian asid deoksiribonukleik. Ternyata bayi itu bukan zuriatnya. Lantas, lelaki itu memfailkan tuntutan bagi menentukan sah taraf bayi tersebut.

Kes itu berlangsung hampir setahun kerana Suzana berdolak-dalih dalam hal berkenaan.

Namun, akhirnya, mahkamah rendah syariah memutuskan bahawa anak tersebut tidak sah taraf dan tidak boleh dinasabkan kepada Halim. Beliau menarik nafas lega dengan keputusan berkenaan.

Peri pentingnya penentuan nasab

Menerima realiti bahawa Melati itu lahir dalam hubungan yang tidak sah sudah cukup memeritkan. Apatah lagi, nama anak itu berbintikan Halim. Ia seolah-olah mencurah garam ke atas luka yang sememangnya sudah parah.

Meskipun niatnya sekadar mahu menutup aib, namun menolak mafsadah (keburukan) adalah lebih utama daripada mengambil manfaat.

Demikian pandangan yang dilontarkan Presiden Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof tentang kisah malang yang dihadapi oleh Halim.

FAZRU ANUAR
FAZRU ANUAR

Ujar beliau, kepentingan umum tidak boleh digadaikan hanya kerana beberapa individu telah membuat kesalahan. Bahkan, nasab dan sistem keluarga perlu dipertahankan pada zaman yang mana ramai orang sudah mula bersekedudukan dan menormalisasikan tinggal sebumbung dengan bukan mahram.

"Sebab itu zina disebut sebagai fahisyah iaitu benda yang keji dalam al-Quran yang perlu dijauhkan. Kesan jangka panjangnya sangat menakutkan," katanya kepada Sinar Islam menerusi e-mel baru-baru ini.

Jelas Fazru Anuar, isu tentang penentuan nasab tidak boleh dipandang remeh kerana ia akan memberi kesan yang besar terhadap anak tersebut. Ia termasuklah isu berbangkit seperti wali pernikahan, warisan harta pusaka, hadanah dan berkaitan nafkah.

"Umum mengetahui bahawa salah satu rukun nikah ialah wali. Ketiadaan wali yang layak untuk mengahwinkan seseorang wanita itu menjadikan perkahwinan berkenaan fasid (rosak). Begitu juga dalam isu pewarisan harta pusaka. Jika bapa meninggal dunia, anak yang tidak sah taraf tidak mempunyai hak kerana nasabnya tidak bersambung di sebelah bapa.

"Dalam perkara berkaitan hadanah pula, anak yang tidak sah taraf hanya bersandarkan kepada ibu. Maka, hak hadanahnya juga adalah milik ibu dan saudara sebelah ibu secara mutlak.

"Begitupun dalam bab nafkah, anak tidak sah taraf berkenaan ditanggung oleh ibunya, bukan bapanya walaupun mereka berkaitan secara biologi. Perkara itu termaktub di bawah Seksyen 80, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303)," terang beliau sambil menjelaskan bahawa Seksyen 11, Akta 303 memperuntukkan tentang garis panduan dalam penentuan anak sah taraf.

Dalam pada itu, Fazru Anuar mengemukakan ayat al-Quran yang melarang menasabkan seorang anak kepada bukan bapanya.

Firman ALLAH SWT: Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber’bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi ALLAH. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai 'maula-maula' kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah ALLAH MAHA PENGAMPUN,lagi MAHA MENGASIHANI)." (Surah al-Ahzab, ayat 5)

Justeru, kepada mereka yang menghadapi keraguan berkaitan nasab terutama bekas suami, Fazru Anuar menasihatkan individu berkenaan membuat permohonan pengesahan nasab di mahkamah tinggi syariah yang berdekatan.

"Selain mengemukakan keterangan, saksi dan bukti berkaitan anak tersebut, suami atau bekas suami juga boleh membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menguatkan keterangan.

"Hasil ujian DNA itu hendaklah dikemukakan kepada hakim syarie untuk dinilai dan diputuskan. Selepas pengesahan nasab diperoleh di mahkamah tinggi syariah, bekas suami boleh membuat pembatalan nama yang 'dibin' atau 'dibintikan' terhadap beliau di Jabatan Pendaftaran Negara.

"Dalam penyelesaian isu bin atau binti, anak berkenaan boleh berbintikan Abdullah atau mana-mana nama dalam Asmaul Husna dengan berpangkalkan Abdul berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 pada tahun 1981," jelas beliau.