Perak harap permohonan De Paula selesai segera

Guilherme de Paula
Guilherme de Paula
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) berharap status kerakyatan warganegara Malaysia yang dipohon penyerang dari Brazil, Guilherme de Paula dapat diselesaikan secepat mungkin.

Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata, pihaknya bersedia membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menguruskan segala dokumen yang berkaitan.

“Saya difahamkan, permohonan de Paula (bagi mendapatkan kerakyatan warganegara Malaysia) telah dihantar bersama-sama permohonan Liridon (Krasniqi), namun hanya permohonan Liridon seorang yang diluluskan manakala permohonan de Paula pula perlu tunggu dalam tempoh seminggu dua lagi.

“Jadi saya harap segala urusan dokumentasi mengenai permohonan de Paula dapat diselesaikan segera. Apapun, jika dia sudah menjadi pemain naturalisasi, kita akan tengok pula pada keperluan pasukan, jika perlu barulah kita ambil seorang lagi pemain import,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohamad Azlin, PAFA tidak bercadang untuk menjadikan seorang lagi tonggak import Perak, Leandro dos Santos sebagai pemain naturalisasi jika permohonan de Paula diluluskan nanti.

“Sebenarnya kita tak fikir pun ke arah itu kerana ia terpulang kepada pemain itu sendiri dalam merencanakan masa depannya. Melainkan jika dia (pemain) yang menyatakan hasrat bersungguh-sungguh kepada kita,” ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, proses naturalisasi de Paula yang juga bekas penyerang Selangor, Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diketahui dalam tempoh terdekat.

Difahamkan, permohonan De Paula memerlukan sedikit masa lagi untuk diselesaikan bagi memastikan FAM memenuhi segala ketetapan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Artikel Berkaitan: