Kerajaan cepat bertindak tangani wabak koronavirus

Dr Noordin Darus
Dr Noordin Darus
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan yang diambil kerajaan dalam menangani penularan wabak koronavirus di negara ini disifatkan sebagai paling cepat berdasarkan pengalaman berdepan wabak berbahaya sebelum ini.

Doktor Kesihatan Profesional (MBBS), Dr Noordin Darus berkata, kali ini kerajaan dilihat lebih cepat bertindak berbanding ketika negara berhadapan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), virus Nipah dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV).

Menurutnya, berikutan itu rakyat seharusnya faham akan situasi berkenaan dan perlu bertenang.

"Sekarang kita tengok konsep (cara) China dan negara-negara luar selesaikan masalah (wabak) ini dan dari situ ada timbul tuduhan-tuduhan tidak berasas.

"Namun dari sudut sains, jika dicatatkan cuma 0.018 peratus mangsa meninggal itu dikira rendah dan situasi di Wuhan purata kematian yang direkodkan antara 2 hingga 2.3 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Siri 155 bertajuk: Koronavirus: Adakah kita lambat bertindak? di Bangunan WUI, Kompleks Karangkraf Seksyen 15 di sini hari ini.

Dalam wacana yang dikendalikan moderator, Sayed Munawwar Sayed Mohd Mustar itu, Noordin bergandingan bersama Ketua Pegawai Pematuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yasin dan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Bujang sebagai panelis.

Mengulas lanjut, tuduhan kononnya negara lambat bertindak membendung penularan wabak koronavirus kerana capaian internet sekarang di hujung jari.

Artikel Berkaitan:

"Nasihat saya kita jangan cepat melatah sebaliknya dalam keadaan sekarang perlu mementingkan aspek penjagaan diri sebagai langkah pencegahan dan jangan panik," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dilarang panik kerana sifat itu sendiri akan mempengaruhi dan menurunkan imuniti badan.

"Jadi apa yang menyebabkan kita kena mudah kena jangkitan sesuatu virus atau penyakit adalah bergantung kepada imuniti tubuh kita. Perkara ini mudah, kita cuma perlu jaga diri.

"Koronavirus ini terkenal dengan sifatnya yang takut air jadi untuk jaga diri kena kerap mandi, jaga pemakanan dan hadkan pergerakan ketika ini," katanya.

Kata Noordin, bagi sesiapa yang telah terkena jangkitan koronavirus mereka dinasihatkan untuk meminum air kelapa dan air lemon suam antara enam hingga tujuh gelas pada hari pertama.

Tambahnya, pada hari kedua pula pengambilan air itu perlu diteruskan tetapi dikurangkan kepada masing-masing lima gelas serta perlu mengambil sayur hijau seperti kangkung.

"Uniknya koronavirus dia serang saluran pernafasan sama seperti influenza. Jadi saya juga nasihatkan jangan kerap makan gula, susu dan daging (sebagai usaha meningkatkan ketahanan badan)," katanya.