Selangor perlu juarai sektor AI

A
A
A

SELANGOR bertahun lamanya dikenali sebagai hab perindustrian Malaysia. Banyak syarikat ternama dan multinasional antarabangsa memajukan sektor perindustrian Selangor sekali gus menjadikan negeri itu paling kaya di negara ini. Namun secara perlahan, Selangor mula disaingi Pulau Pinang dan Johor.

Menyedari hakikat itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari percaya hanya teknologi terkini dan kemajuan ilmu kemahiran profesional bagi setiap disiplin kejuruteraan yang relevan berorientasikan sistem siber-fizikal atau Cyber-Physical Systems (CPS) dan mesin pintar digunakan sebagai alat meningkatkan kecekapan rantaian pengeluaran.

Kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) menjadi pemangkin teras teknologi pelaksanaan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

Amirudin bertindak pantas memperkenalkan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass), selain memperkasa Smart Selangor.

Penulis dijemput untuk melontar idea bernas dan terkini dalam Iktisass. Penulis percaya Smart Selangor sudah diterima baik khususnya oleh pakar industri dan kejuruteraan pengkomputeran berpengalaman. Namun, Selangor mesti menyelesaikan isu sosial komuniti rentetan impak pelaksanaan IR4.0.

Sebagai permulaan, penulis mencadangkan konsep IR4.0 diubah suai mengikut konsep IRS 4.0 iaitu singkatan Fourth Industry Revolution Society.

Jika perkara itu tidak diambil kira, fenomena tragik akan melanda masyarakat kerana mereka takut apabila memikirkan soal manusia robot sebagaimana pesanan ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah: “Dan bila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan; Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar.”

Selangor mesti menangani dan menguasai pembangunan kepakaran AI yang dianggap komponen paling penting dalam IR4.0 atau menurut istilah terkini ialah robot manusia atau 'human robot' yang dilihat berjaya dalam era Perindustrian Kedua (I2.0) dan Perindustrian Ketiga (I3.0). Menguasai robot manusia berorientasi AI amatlah perlu kerana ia mampu mengembara jauh memajukan sektor perindustrian melebihi kemampuan akal pemikiran manusia itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

Pembangunan

Penulis percaya pembangunan dan kesediaan minda masyarakat dalam menerima AI pada semua peringkat mesti diberi keutamaan jika Selangor mahu merealisasikan IR4.0.

Iktisass juga mesti menjadi mekanisme kerajaan Selangor bagi menangani isu pembangunan latihan kemahiran teknikal dan ikhtisas demi memastikan negeri tersebut menjadi pusat kecemerlangan bertaraf dunia untuk pembelajaran sepanjang hayat sekali gus membangunkan modal insan dan kemahiran tinggi profesional menerusi sinergi syarikat, pendidikan dan latihan profesional teknikal dan vokasional.

Menyediakan kepimpinan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dengan amalan terbaik, inovatif, jaminan kualiti dan latihan kemahiran yang mampu menjalankan pendidikan dan latihan kemahiran dengan bidang penyelidikan terapan secara sistematik ke arah pembangunan modal insan mampan sebagai pemangkin kepada peningkatan pelaburan domestik dan antarabangsa di Selangor.

Kepantasan dan kerumitan peralihan dalam era digitalisasi baru amatlah menakutkan. Selangor perlu menentukan garis panduan dan piawaian pembangunan serta kesan tindakan mengikut wilayah atau daerah itu.

Antara faktor penting dalam perancangan itu ialah cross-country comparison (CCC) untuk menyediakan panorama jangka panjang polisi awam, matlamat sesuatu program, pembiayaan mencukupi, area of action, sektor industri dan teknologi utama.

Kesimpulannya, penulis yakin Amirudin bijak memilih ‘kapten industri’ yang berakhlak tinggi, berpengalaman dan tegas menjuarai pembangunan AI di Selangor.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor