Kekalkan keharmonian

A
A
A

ASAS pembinaan Malaysia bertitik tolak daripada sikap berlapang dada kaum bumiputera menerima kaum lain yang didatangkan dan berhijrah ke tanah Melayu sejak zaman penjajahan.

Kerasian pelbagai kaum yang hidup damai pada zaman pramerdeka disaksikan ketika anak-anak pelbagai bangsa bermain dan berkawan penuh mesra sehingga dewasa. Di pasar dan di acara kemasyarakatan kelihatan wujud kemesraan antara kaum menjadi protrait sebuah tanah air berbilang bangsa dan agama yang sangat harmoni.

Menjelang kemerdekaan, pemimpin Melayu mengetepikan perbezaan dan asal datangnya kaum lain, lalu melihat ke hadapan mengatur langkah membina negara bersama. Tidak disimpan kecurigaan melainkan orang Cina, India, Sikh dari pelbagai negara. Semua dirasai sebagai sebahagian anak watan yang menerima warisan membina negara secara bersama.

Dalam semangat ingin melangkah ke hadapan mencapai kemerdekaan, negara ini merdeka dengan pengisytiharan dikumandangkan di Stadium Merdeka, laungan kalimah keramat 'merdeka' bersama pelbagai kaum.

Kita mencapai kemerdekaan dengan kesepakatan hidup aman damai antara kaum dengan menerima kehadiran semua ras dan agama untuk membangun semula negara mengikut kontrak sosial yang dimeterai dalam Perlembagaan Persekutuan.

Soal kedudukan agama Islam, raja-raja Melayu, hak istimewa kaum Melayu dan bumiputera, bahasa dan budaya kebangsaan disambut sebagai khazanah bersama yang dihormati.

Kita menapak dengan cermat menjaga sensitiviti antara kita lalu dengan penuh kebijaksanaan mengemudi bahtera Malaya kepada Malaysia sehingga tertegak negara merdeka dan berdaulat.

Kita membawa semangat muhibah dan mendendangkan lagu bersama untuk menanam rasa saling hormat dan bersepakat bahawa negara ini milik semua kaum. Rasa kebersamaan menjadi kebanggaan sehingga kita bangga mengakui ‘saya dari Malaysia’ di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 1970, sebaik peristiwa 13 Mei 1969 kita gubal Rukun Negara oleh Majlis Perundingan Negara atau MAPEN) diketuai Tun Abdul Razak.

Kemudian dilancar Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 untuk mewujudkan perpaduan berdasarkan kesaksamaan ekonomi dengan mengurangkan jurang Melayu dan bumiputera dengan kaum China dan India.

Kita abadikan bahawasanya Malaysia mendokong cita-cita iaitu mencapai perpaduan erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil; menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang berbagai corak dan membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Maka, kami rakyat Malaysia berikrar menumpukan tenaga dan usaha mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip yang berikut: Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada raja dan negara, Keluruhan Perlembagaan, Kedaulatan undang-undang, Kesopanan dan kesusilaan.

Kita harungi segalanya selepas itu. Diulang ingat kepada semua kaum agar menjaga dan saling hormat antara warga Malaysia. Keseluruhannya, kita berjaya menjaga negara ini dengan utuh.

Apabila perkembangan perbalahan antara agama dan kaum muncul kebelakangan ini, kita seharusnya mulai berasa cemas. Kata-kata saling mencuriga dan berprasangka antara kaum mulai kedengaran. Media sosial nampaknya menjadi senjata memanaskan persengketaan dengan cukup pantas.

Kita lupa Rukun Negara yang memandu kita untuk menghayati hidup bermuhibah. Politik berpuak dan saling menjatuhkan melalui sentimen kaum serta agama mempamerkan sifat rakus dan tamak untuk mengejar kuasa.

Syor kami adalah perkukuhkan rasa cinta kepada hidup harmoni dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, pelihara adab antara kaum ketika berhujah pandangan yang menyentuh sensitiviti, segarkan penghayatan Rukun Negara dalam budaya hidup rakyat.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu