X

Kindly register in order to view this article
!

Gerun hanya di media sosial, realitinya masih tak pakai topeng muka

Gambar hiasan.
A
A

PENULARAN virus Wuhan atau koronavirus menyebabkan rakyat Malaysia gusar apabila kerajaan pada awalnya enggan menyekat kemasukan pelancong dari China kira-kira dua minggu lalu.

Segelintir besarnya marah kepada kerajaan kerana lebih mementingkan standard prosedur operasi yang ditetapkan oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) berbanding nyawa rakyat sendiri.

Sejak itu, hampir setiap hari posting berkaitan kemarahan rakyat berlalu di dinding-dinding media sosial Merak Jalanan sehingga mencetuskan kegentaran.

Malah, Merak Jalanan sendiri merasa takut untuk keluar bersosial bersama isteri, terutamanya pergi kawasan terbuka yang menjadi tumpuan orang awam.

Hanya sesekali sahaja memberanikan diri kalau ada hal penting tapi siap memakai topeng muka dan membawa sekali produk sanitasi sebagai langkah berjaga-berjaga sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Sehingga semalam, seramai 563 kehilangan nyawa di China akibat wabak berkenaan manakala seramai 12 orang disahkan positif di Malaysia oleh Kementerian Kesihatan.

Dianggarkan, sebanyak 25 negara terjejas akibat wabak berkenaan antaranya Thailand, Jepun, Filipina, Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Kanada, Finland, Sepanyol dan Belgium.

Kesan daripada penularan wabak berkenaan, bandar-bandar utama di China dikuarantin dan Wuhan yang menjadi utama dikesan penularannya ditutup sehingga dilabel sebagai 'ghost town' atau bandar hantu.

Lain pula halnya di Malaysia, walaupun wabak berkenaan dilaporkan terkawal, kegentaran rakyatnya seolah-olah Malaysia juga berdepan dengan situasi sama seperti di China.

Namun, situasi tersebut hanya berlaku dalam media sosial. Di alam nyata, rata-ratanya masih bersosial di tempat-tempat terbuka tanpa memakai topeng muka, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Hanya segelintir sahaja Merak Jalanan lihat mengenakan topeng muka sebagai tanda berjaga-jaga daripada risiko wabak berkenaan yang melibatkan 27,636 mangsa di seluruh dunia.

Merak Jalanan tengok, gerun kita terhadap koronavirus seolah-olah hanya dalam media sosial manakala di dunia nyata kita masih tidak melakukan sebarang usaha untuk melindungi diri dan keluarga, terutamanya anak-anak kecil.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!