Malaysia serius laksana 5G

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RANGKAIAN 5G adalah salah satu agenda penting kerajaan bagi memacu Malaysia sebagai salah sebuah negara maju di Asia Tenggara.

Pelaksanaannya dikatakan mampu memberi manfaat besar kepada ekonomi Malaysia.

Dianggarkan, berbilion ringgit bakal diraih hasil daripada pelancaran teknologi berkenaan yang dijangka bermula sekitar 2022.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dalam laporannya menjelaskan, pelaksanaan 5G boleh menyumbang hampir RM12.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Di samping itu, pelaksanaan teknologi berkenaan juga mampu mewujudkan sebanyak 40,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antara sektor yang akan menerima manfaat terhadap keberadaan teknologi berkenaan selain komunikasi ialah perusahaan kecil dan sederhana (SME), perubatan, pendidikan, perkilangan dan aeroangkasa.

Biarpun 5G belum dilancarkan sepenuhnya, namun kerajaan sudah menunjukkan 'progress' yang memberangsangkan ke arah pelaksanaannya.

Pelbagai kajian kes berhubung teknologi berkenaan telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan sembilan vertikal di 56 lokasi bermula dari Oktober 2019 sehingga Jun 2020.

Artikel Berkaitan:

Dianggarkan, sebanyak RM143 juta dilaburkan 5G Demonstration Project partners bagi tujuan berkenaan membabitkan pelbagai kajian kes seperti pertanian pintar, lapangan terbang pintar, pelancongan maya, lampu trafik pintar dan sebagainya.

Kesungguhan negara melaksanakan 5G itu telah dirangkum dalam sebuah temasya gemilang menerusi pelancaran Projek Demonstrasi 5G yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi, Kedah pada 20 Januari lalu.

Jika pelaksanaannya berjalan dengan baik, Malaysia bakal menjadi antara negara yang meneraju 5G di pentas global setanding Amerika Syarikat, Jepun, China dan Korea Selatan.