Raja Zarith sempurna Wad Hematologi Tunku Laksamana Johor

Raja Zarith menyerahkan sijil penghargaan kepada petugas dan NGO yang memberikan khidmat di Hospital Sultanah Aminah.
Raja Zarith menyerahkan sijil penghargaan kepada petugas dan NGO yang memberikan khidmat di Hospital Sultanah Aminah.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan merasmikan Wad Hematologi Tunku Laksamana Johor, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.

Difahamkan, wad khas bagi rawatan kanser darah itu adalah cetusan idea dan perkenan Baginda Permaisuri sendiri untuk membantu rakyat di negeri ini.

Raja Zarith Sofiah yang berangkat tiba kira-kira jam 10 pagi di wad berkenaan turut meluangkan masa meninjau kemudahan dan peralatan baharu.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan kerabat diraja dalam isu kesihatan negeri ini.

“Kami warga Jabatan Kesihatan negeri, merafak setingi-tinggi terima kasih di atas inisiatif dan kerjasama yang dijayakan. Wad ini dibiayai Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ).

“Pembiayaan membabitkan ubahsuai bangunan menjadi sebuah pusat rawatan yang lebih kondusif untuk kemudahan pesakit,” katanya.

Menurutnya, YKTLJ juga membantu membina sebuah lagi bilik transplan yang dilengkapi dua unit ‘purifier’ bagi mengurangkan jangkitan kuman.

“Pada September 2016, perkhidmatan transplan autologous diwujudkan di hospital ini. Seramai 36 pesakit menjalani rawatan di wad yang memudahkan ini kerana tidak perlu buat di Hospital Ampang.

“Wad ini juga lebih selesa bagi pesakit dan keluarga mereka memandangkan rawatan ini memerlukan pesakit menempatkan diri di hospital selama tiga minggu,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Selahuddeen berkata, pihaknya juga turut menerima bantuan kewangan bagi membiayai ubat-ubatan bagi pesakit kanser yang kurang berkemampuan.

“Kos rawatan kanser ini sedia maklum adalah mahal dan sebahagian besar pesakitnya adalah dari golongan kurang berkemampuan. Justeru, kami amat gembira apabila YKTLJ telah menyalurkan bantuan kewangan bagi membiayai kos ubat-ubatan penyakit ini.

“Pada tahun ini bantuan sebanyak RM636,685 disalurkan untuk kos ubat-ubatan itu yang mana dilihat begitu membantu kepada golongan memerlukan,” katanya.