Mohammad Shatar dilantik Presiden CAPEU

Mohammad Shatar Sabran
Mohammad Shatar Sabran
A
A
A

SHAH ALAM – Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dilantik sebagai Presiden Konsortium Universiti-Universiti Pendidikan Asia-Pasifik (CAPEU) bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan kepada undian dalam kalangan ahli-ahli CAPEU membabitkan wakil universiti-universiti yang berteraskan pendidikan di Asia Pasifik.

Mohammad Shatar berkata, pelantikan itu adalah satu penghargaan kepada UPSI selaku peneraju dalam bidang pendidikan dan sebagai ‘Universiti Nombor Satu Pendidikan’ sama ada di dalam negara mahupun di rantau Asia Pasifik.

"CAPEU yang ditubuhkan pada 2013 bertujuan memberi tumpuan terhadap usaha menggalakkan sektor pendidikan termasuk melaksanakan program pertukaran kakitangan dan pelajar, program mobiliti pelajar, persidangan, penulisan jurnal, kolaborasi penyelidikan serta perkhidmatan masyarakat," katanya.

Dalam masa sama katanya, beliau berhasrat mahu menjadikan CAPEU sebagai tempat rujukan kepada masyarakat terutama di Asia Pasifik mengenai hal berkaitan pendidikan.

“Saya mahu CAPEU dilihat dunia sebagai satu agensi atau organisasi yang sangat berpengaruh dalam menerajui ataupun menjuarai bidang-bidang pendidikan.

“Kita akan mewujudkan jalinan kerjasama atau pertukaran kakitangan dan pelajar bagi meningkatkan kualiti graduan, selain memberi pendedahan kepada pensyarah dari universiti di Asia Pasifik yang terbabit di CAPEU bagi meningkatkan lagi pengalaman global mereka pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Berkaitan: