‘Kenapa kita perlu risau?’

Skuad Harimau Malaya mempunyai misi penting Mac depan. - Foto Football Association of Malaysia (Official)
Skuad Harimau Malaya mempunyai misi penting Mac depan. - Foto Football Association of Malaysia (Official)
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya diyakini cukup bersedia mengekalkan momentum positif mereka menjelang dua aksi penting Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Mac depan.

Sebelum ini, timbul kebimbangan beberapa pihak yang meragui tahap kecergasan para pemain skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu gara-gara saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini bermula agak lewat.

Begitupun, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan optimis Cheng Hoe mampu mengemudi barisan pemainnya melakar keputusan positif biarpun dikatakan mempunyai masa terhad bagi membentuk keampuhan Harimau Malaya.

“Sebenarnya ketika ini tidak ada lagi istilah dalam bola sepak antarabangsa sebulan training (berlatih) sebab sekarang liga profesional bukan amatur. Di Thailand, Indonesia juga belum mula liga lagi.

“Jadi saya tak nampak kenapa kita perlu risau? Kita asyik fikir cukupkah masa untuk para pemain negara berlatih sebelum menghadapi kempen kelayakan itu nanti. Bagi saya masa itu masih mencukupi untuk mereka membuat persiapan.

“Kita dapat lihat JDT (Johor Darul Ta’zim) kini mengadakan aksi pramusim menentang beberapa pasukan terbaik di Dubai. Begitu juga Kedah yang baru saja beraksi dalam saingan Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Walaupun liga kita (Liga-M) masih belum bermula tetapi saya lihat kebanyakan pasukan sudah membuat persiapan rapi. Selangor turut membuat persiapan dengan menyertai Piala Cabaran Asia minggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Barisan pemain Harimau Malaya kembali mempunyai tugasan penting pada Mac depan. - Foto Football Association of Malaysia (Official)
Barisan pemain Harimau Malaya kembali mempunyai tugasan penting pada Mac depan. - Foto Football Association of Malaysia (Official)

Artikel Berkaitan:

Mengikut jadual, saingan Liga-M 2020 akan bermula pada 28 Februari depan sedangkan dalam tempoh kurang sebulan, skuad Harimau Malaya bakal berdepan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 26 Mac.

Berselang lima hari kemudian, anak-anak buah Cheng Hoe akan menanti kunjungan pendahulu Kumpulan G, Vietnam pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi melengkapkan aksi ketujuh dan kelapan kempen kelayan tersebut.

Sebelum berdepan UAE dan Vietnam, Harimau Malaya terlebih dulu bakal ‘memanaskan badan’ berdepan Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Khalifa Sports City, Isa Town pada 21 Mac.

Sathianathan memberitahu, tempoh persiapan Harimau Malaya yang agak terhad sebelum menghadapi dua aksi penting itu tidak harus dijadikan alasan bagi mereka gagal menjelmakan keputusan positif.

“Saya juga berharap semua jurulatih kelab atau pasukan negeri dapat membantu Cheng Hoe menyediakan barisan pemain berkaliber untuk mewakili pasukan negara. Tugas ini bukan terletak kepada Cheng Hoe sahaja, malahan semua jurulatih,” ujarnya.