Kes libatkan MBPJ masih dalam siasatan: SPRM

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan masih menjalankan siasatan kes melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R Rajiv.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim berkata, tiada penangguhan daripada pihak SPRM berhubung penyiasatan kes tersebut.

Menurutnya, pihaknya juga sudah memberi maklum balas kepada Rajiv secara bertulis memaklumkan siasatan masih dijalankan.

“Kami merujuk kepada laporan media berkenaan isu MBPJ yang dibangkitkan ADUN Bukit Gasing dalam satu sidang media baru-baru ini.

“Kami telah pun membalas kepada beliau secara bertulis seawal 4 Disember 2019 dan 20 Januari 2020 dan menjawab kepada persoalan-persoalan beliau berkenaan status kes tersebut. Kami juga telah memaklumkan kepada beliau bahawa siasatan masih sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alias berkata, aduan pertama diterima pada 5 Ogos lalu berhubung dakwaan terdapat konflik berkepentingan dalam penganugerahan sub kontrak di pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Kes tersebut katanya, masih disiasat SPRM Selangor.

“Saya boleh mengesahkan bahawa siasatan tersebut masih sedang dijalankan dan masih lagi diteruskan mengikut prosedur-prosedur siasatan.

Artikel Berkaitan:

“Tidak terdapat apa-apa penangguhan dari pihak SPRM berkenaan kes ini. Kami tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat spesifik kerana ia akan memprejudiskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Beliau menjelaskan setelah siasatan diselesaikan, pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan tersebut kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan.

Terdahulu, Rajiv menerusi satu kenyataan menggesa SPRM mempercepatkan proses penyiasatan kes tersebut.

Katanya, beliau membuat laporan kepada pihak SPRM pada 6 Ogos lalu setelah menerima maklumat daripada pemberi maklumat (pegawai di MBPJ) berhubung isu terbabit.

“Kes itu melibatkan bayaran kerja yang tidak dilakukan. Tangkapan perlu dilalukan jika dakwaan benar. Kini siasatan sudah berlangsung selama enam bulan.

“SPRM mesti menyiasat kes dilaporkan kepada mereka dengan cepat dan cekap untuk memberikan keyakinan kepada pemberi maklumat,” katanya.

Katanya, kegagalan SPRM bertindak terhadap akan menyebabkan pemberi maklumat hilang keyakinan terhadap pentadbiran agensi itu.