Gagal patuhi notis, barangan restoran disita

Sebanyak 12 tong gas turut dirampas dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan DBKL.
Sebanyak 12 tong gas turut dirampas dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedegilan pengusaha sebuah restoran di sini mematuhi notis yang diberikan sejak empat bulan lalu berakhir dengan tindakan sitaan pelbagai peralatan di premis itu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.

Unit Media DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan tindakan itu diambil dalam satu operasi penguatkuasaan dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan dijalankan terhadap struktur premis yang tidak mematuhi kelulusan Perintah Pembangunan.

Antara peralatan restoran yang disita DBKL.
Antara peralatan restoran yang disita DBKL.

“Jabatan Penguatkuasaan DBKL telah mengeluarkan notis penguatkuasaan pada 29 Oktober tahun lalu dan surat peringatan terakhir pada 29 Januari lalu kepada pemilik struktur supaya memohon kelulusan kebenaran perancangan.

“Akibat kegagalan mereka mematuhi notis dikeluarkan, DBKL melaksanakan tindakan menyita 12 unit tong gas, satu unit tempayan roti nan dan tujuh gerai masakan.

“Tindakan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan pengusaha dikenakan tindakan di bawah kesalahan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan DBKL akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, warga kota adalah dinasihatkan supaya mematuhi undang undang dan peraturan yang ditetapkan oleh DBKL.