X

Kindly register in order to view this article
!

Dasar, hala tuju KPM selaras agenda Wawasan Kemakmuran Bersama

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
Dr Mahathir hadir pada Majlis Amanat dan Aspirasi Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai peneraju dalam mendidik dan melahirkan modal insan negara akan menyesuaikan dasar dan hala tuju selaras dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, bagi tahun 2020, fokus utama KPM akan tertumpu ke arah ‘Merealisasikan Kemakmuran Bersama Melalui Pendidikan’.

"Satu daripada tujuh teras strategik dalam wawasan yang dilancarkan kerajaan itu ialah strategi transformasi modal insan.

"Transformasi ini harus fokus kepada penyediaan hala tuju sumber tenaga yang lebih produktif, efektif, berkemahiran, berteknologi dan bernilai tinggi, termasuk dalam industri ekonomi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis amanat dan aspirasi bersama warga Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyarankan supaya satu kurikulum Pendidikan Islam baharu diadakan bagi menekankan penyemaian nilai-nilai kehidupan Islam.

"Kita gemar menyatakan bahawa Islam bukan sahaja satu agama tetapi ia juga adalah satu cara hidup. Kita perlu tahu apakah cara hidup Islam. Umpamanya adakah cara hidup Islam menyuruh kita berperang dan membunuh?" katanya.

Sementara itu, menurutnya, KPM turut menyediakan Perincian Pemetaan Pendidikan Sivik yang merangkumi Modul Exemplar untuk kurikulum, Manual Perhimpunan Sekolah dan Amalan Nilai Murni serta Manual Amalan Pendidikan Sivik dalam kokurikulum.

Di peringkat pendidikan tinggi pula, katanya, pembentukan nilai ditekankan melalui aktiviti Service Learning Malaysia - University For Society (Sulam), iaitu kaedah pembelajaran yang memberi pengalaman pembelajaran kepada pelajar melalui penyelesaian permasalahan komuniti. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!