Calon BN beri saingan sangit kepada PH

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

LIPIS - PKR Pahang menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini sebagai persaingan sengit, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Fuziah Salleh.

Beliau berkata jentera PH tidak boleh terlalu selesa kerana pertembungan kali ini secara tidak langsung ialah perlawanan antara kerajaan Pusat di bawah PH dengan kerajaan negeri Pahang yang masih di bawah pentadbiran BN.

Selain itu, strategi BN menurunkan bekas pegawai kanan polis keturunan Orang Asli, Ramli Mohd Nor juga menjadikan PRK Cameron Highlands lebih menarik memandangkan 22 peratus pengundi di kawasan itu adalah Orang Asli, katanya.

"Kita berharap masyarakat Orang Asli sedar bahawa PH mengambil berat isu berkaitan Orang Asli sejak dahulu dan telah berjuang dalam isu-isu yang menghambat mereka seperti isu tanah adat, kemiskinan dan air bersih.

"Masih ramai masyarakat ini yang bergantung kepada sungai sebagai sumber air dan kami di PH adalah antara yang kerap membangkitkan isu berkaitan pencemaran termasuk di Cameron Highlands kerana menyedari kepentingan air bersih kepada golongan ini," katanya.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan mendengar taklimat jentera PH di Bilik Gerakan PH Sungai Koyan di Felda Sungai Koyan 3 di sini, hari ini.

Beliau juga optimis masyarakat Orang Asli semakin bijak dalam menilai perkara yang baik, mengambil kira punca PRK Cameron Highlands adalah kerana pemberian rasuah melibatkan masyarakat itu dan mereka juga yang memberi keterangan di Mahkamah Pilihan Raya.

"Ini adalah petanda dan permulaan yang baik kepada PH. Kita berharap mereka tidak mudah terpedaya dengan cara memberi imbuhan namun tidak membina nasib Orang Asli dalam jangka panjang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fuziah berkata beliau juga mengalu-alukan pemantauan daripada Bersih 2.0 dan organisasi lain sepanjang perjalanan PRK Cameron Highlands bagi memastikan ketelusannya.

Pada 30 Oktober lepas, Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur memerintahkan PRK Cameron Highlands diadakan selepas membatalkan kemenangan calon BN Datuk C Sivarraajh pada PRU14 selepas berpuas hati berlaku pemberian rasuah untuk mendapatkan undi.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan pakatan itu akan diwakili M Manogaran dan turut melahirkan hasrat untuk bertanding pada PRK itu ialah Presiden PPP Tan Sri M. Kayveas. - Bernama